Pernahkah anda berada dalam satu hubungan yang terasa mesra, tetapi tidak pernah jelas ke mana arah tujuannya? Awas, ini bermakna anda berada dalam hubungan ‘situationsip’!
Anda berdua sering berhubung, keluar bersama dan mungkin juga berkongsi momen yang intim namun tiada sebarang ikatan rasmi atau pengakuan yang jelas. Jika ya, besar kemungkinan anda sedang berada dalam apa yang kini dikenali sebagai situationship.
Situationship ialah satu bentuk “hubungan samar-samar” yang semakin kerap berlaku dalam era moden di mana dua individu berkongsi ‘hubungan’ yang lebih daripada sekadar kawan, tetapi tidak cukup jelas untuk dipanggil pasangan kekasih.
Ia mungkin menyeronokkan pada awalnya, tetapi dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan kekeliruan emosi dan ketidakpastian.
Jom semak 5 tanda yang menunjukkan anda sebenarnya berada dalam sebuah situationship. Kenal pasti sebelum hati anda terlanjur terlalu jauh.
1. Tiada komitmen jelas
Seperti anda sering bersama dan berhubung secara konsisten tetapi tiada langsung perbualan tentang masa depan, eksklusiviti atau status hubungan. Anda tidak tahu sama ada anda “berpasangan” atau hanya “lebih daripada kawan”.
2. Segalanya mengikut mood
Perhubungan hanya berlaku apabila dia mahu. Ada hari dia sangat manis dan mengambil berat, tetapi esoknya dia mungkin senyap tanpa khabar. Tiada kestabilan emosi atau komunikasi.
3. Anda tidak diperkenalkan secara rasmi
Anda belum pernah diperkenalkan kepada keluarganya, rakan-rakan rapat atau dunia luar sebagai seseorang yang istimewa. Hubungan anda kekal ‘rahsia’ atau hanya di dalam ruang peribadi.
4. Hubungan fizikal lebih daripada emosi
Situationship selalunya lebih menumpukan pada keseronokan dan keintiman fizikal berbanding emosi.
5. Anda selalu rasa tidak pasti
Setiap kali anda fikirkan hubungan ini, anda berasa keliru, tidak yakin dan sering tertanya-tanya, “Apa sebenarnya hubungan kami?”. Perasaan ini berpanjangan dan tak pernah terjawab