Gambar: danoah.com
Di dalam perhubungan, tidak semestinya wanita yang sering merajuk. Lelaki zaman sekarang jauh lebih sensitif dan cepat terasa dengan tidak tanduk pasangannya. Oleh itu, sebagai teman wanita yang bijak, anda harus tahu cara memujuknya.
Tahu Masa Yang Sesuai
Sekiranya anda melakukan satu kesalahan dan si dia mula merajuk, jangan terus mahu memberikan penjelasan kepadanya. Bak kata pepatah, api jika bermain dengan api makin marak jadinya. Jangan terus-terusan menelefonnya kerana usaha ini akan hanya membuang masa anda. Beri dia ruang untuk ‘melayan perasaan’ dahulu. Setelah rajuknya reda, barulah anda cuba mendapatkannya dan menjelaskan keadaan yang sebenar.
Buat Sesuatu Yang Menyenangkan
Kata orang, masakan wanita boleh melemahkan seseorang lelaki. Mungkin sebagai tanda maaf, anda boleh memasak sesuatu yang istimewa dan letakkan di atas meja pejabatnya untuk makan tengah hari bersama nota maaf. Cuba hubunginya semula pada waktu malam, dia pasti sudah melupakan apa yang telah terjadi.
Tuliskan Penjelasan Anda
Sekiranya si dia langsung tidak mengendahkan anda setelah beberapa hari, mungkin anda boleh menulis penjelasan anda dan kata-kata maaf di dalam sebuah kad yang anda buat sendiri dan letakkan pada cermin keretanya. Ayat-ayat cinta dan usaha anda pasti membuatkan rajuknya reda.
Jangan Terlalu Terdesak
Sekiranya sudah banyak usaha yang telah dilakukan tetapi si dia masih merajuk dengan anda, cuba mendiamkan diri. Sekiranya anda dilihat seperti terlalu terdesak, takut nanti pasangan anda akan lebih membuli anda dan mempermainkan perasaan anda. Setelah berusaha sedaya upaya untuk memujuknya, diamkan diri dan sekiranya si dia menyayangi anda, dia pasti rindu dan akan menghubungi anda.