Ramai yang bercinta sehingga bertahun lamanya, namun masih enggan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perhubungan itu. Ya, mungkin si dia fobia dengan komitmen, jangan risau, masih terdapat cara menawan hati si fobia komitmen ini sekiranya anda enggan berakhir dengan perpisahan.
Berikan Ruang
Pasangan yang gentarkan komitmen senang menganggap anda ingin mengawal hidupnya walaupun itu tidak benar. Pastikan anda tidak membuatkan pasangan anda berasa seperti terkongkong. Jangan ganggu ruang hidup pasangan anda, terutama sekali jadual kehidupan hariannya. Jika dia ingin bersendirian, maka berikan dia masa secukupnya.
Belajar Berdikari
Bergantung hidup terhadap pasangan yang fobia komitmen ialah perkara paling buruk yang boleh anda lakukan. Ia hanya membuatkan perasaan terkongkong itu lebih kuat. Pastikan hidup anda bukan hanya berkisar tentang hubungan anda berdua. Lakukan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan lain. Jadikan hidup anda lebih penting dari segalanya.
Kurangkan Drama
Jika timbul pertelingkahan dalam perhubungan anda, hentikan segala lakonan drama. Pupuk sifat mudah bertenang dan minta penjelasan dari si dia dengan cara yang baik. Berikan si dia sedikit sahaja kelonggaran, kerana ini mungkin cukup untuk menarik minat si dia terhadap anda.
Berhenti Berharap
Berpasangan dengan si dia yang fobia dengan komitmen bermakna anda harus berhenti mengharapkan perhubungan yang semakin rapat. Ia sangat penting untuk anda menyediakan diri untuk sebuah perhubungan yang bersifat kasual dan tidak banyak berubah.
Bersifat Jujur
Jangan berdolak-dalih dalam perbualan bersama pasangan anda. Apa kata anda berbicara dari hati ke hati dengan si dia. Mungkin apa yang pasangan anda alami bukan fobia terhadap komitmen tetapi dia benar-benar tidak mahukan sebarang perhubungan. Anda harus tahu, perbincangan itu jalan terbaik untuk setiap permasalahan.
Kesabaran Itu Penting
Sekiranya si dia mulai menunjukkan inisiatif untuk semakin rapat dengan anda, jangan terburu-buru untuk terus menganggap bahawa dia akan berubah. Kesabaran itu adalah kunci utama dalam menjaga perhubungan sebegini. Jika anda tidak mampu bersabar, mungkin si dia bukanlah untuk anda. Tetapi, anda ialah seorang yang hebat sekiranya dapat terus bersama pasangan yang takutkan komitmen.