Hasrat awalnya mahu serius menjadi pemuzik gambus ditentang oleh atuknya kerana menganggap wanita tidak sesuai melibatkan diri dalam seni muzik tradisi ini. Namun dengan tekad dan minat yang tinggi, membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dalam mengejar impian. Sejujurnya saya kagum dengan aspirasi yang dibawa gadis berusia 23 tahun ini. Di saat anak muda lain bangga mengangkat budaya luar, dia teguh memilih untuk kembali kepada akar jati diri Melayu yang kental. Pemilik nama Fauziah bt. Suhaili ini nyata bukan sebarangan bakat yang wajar dipandang sebelah mata.
BILA MINAT BERMULA?
Sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan instrumen muzik tradisi ini. Setiap kali sebelum tidur saya akan didodoi dengan petikan gambus oleh atuk dan dari sini bunyi gambus sudah sebati dalam jiwa saya. Hasrat saya untuk belajar bermain gambus ditentang oleh atuk dan dengan itu saya membuat keputusan untuk belajar sendiri pada setiap kali waktu dia sedang tidur secara perlahan-lahan.
TIDAK RAMAI ANAK MUDA MEMILIH MUZIK TRADISI SEBAGAI FORTE MEREKA. MENGAPA ANDA MEMILIH GENRE INI?
Saya dibesarkan dalam persekitaran yang mana kebanyakan penduduknya adalah suku kaum Melayu Brunei yang begitu menyanjung tinggi adat dan budaya tradisi. Muzik gambus adalah jiwa kami yang menjadi warisan zaman ke zaman dan saya mahu mewarisi tradisi ini. Tambahan bagi saya gambus mempunyai satu bunyi cukup unik dan mampu membuat saya tenang. Namun saya juga senang dengan ritma moden cuma irama tradisi ini adalah jiwa saya.
PENGALAMAN BERHARGA
Kala kali pertama memasuki pertandingan gambus solo di Pekan Bongawan saya tekad untuk memakai Baju Melayu dan menukar nama kepada Fauzi kerana gusar hanya lelaki sahaja yang dibenarkan memasuki pertandingan tersebut. Yang menariknya pakcik serta atuk saya juga antara yang terlibat dalam pertandingan tersebut namun nasib saya baik kerana ia merupakan sebuah pertandingan tertutup. Tanpa disangka saya menjuarai pertandingan tersebut dan terbongkarlah rahsia bahawa saya sebenarnya peserta perempuan. Perasaan saya sangat takut ketika itu kerana gusar akan dimarahi atuk namun dia datang kepada saya dan memberitahu semua yang ada di situ “Ini cucu saya..”. Pengalaman ini cukup berharga buat saya kerana bermula saat itu atuk mula percaya akan kesungguhan saya untuk mempelajari gambus.
CABARAN
Cabaran bermula ketika saya berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar 2008 untuk menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya terpaksa berusaha keras meyakinkan orang ramai demi mencari rezeki dengan bermain gambus sebagai sumber utama untuk pembiayaan kos sara hidup dan pelajaran saya di ASWARA.
VISI
Pada zaman serba moden ini, untuk memperjuangkan lagu-lagu tradisional bukanlah perkara mudah dan saya dapat lihat irama tradisi semakin dipinggirkan. Visi saya mahu meletakkan standard muzik tradisi ini sebaris muzik mainstream yang lain. Saya berhasrat mahu menghasilkan lagu tradisi yang digabungkan dengan elemen kontemporari agar dapat menarik minat anak muda mendekati muzik tradisional Melayu.
PERANCANGAN
Saya sedang dalam usaha merakam album kedua setelah album pertama diterbit sekitar 2007 selain mahu menyambung pelajaran dalam seni muzik ke peringkat lebih tinggi lagi.
PENDAPAT ANDA TERHADAP KURANGNYA PENDEDAHAN INSTRUMEN TRADISI SEPERTI GAMBUS TERHADAP ANAK MUDA KINI?
Selain pengaruh muzik moden yang kuat saya beranggapan anak muda hari ini mempunyai idea bahawa seni muzik tradisi ini hanya sesuai untuk mereka yang berusia. Tanggapan ini seharusnya ditepis dan semua pihak harus lebih serius memberi pendedahan kepada muzik tradisi agar ia seiring dengan genre muzik yang lain.
PERKARA TERBAIK MENJADI SEORANG PEMUZIK TRADISIONAL MENURUT ANDA?
Ia menjadikan saya lebih menghargai budaya dengan mendekati dan belajar tentang asal-usul instrumen ini. Dengan menguasai ilmu muzik tradisi juga membuat saya berpeluang memperdengarkan bunyian indah gambus ke mata dunia.
PEMUZIK YANG ANDA KAGUMI?
Antara yang paling saya kagumi adalah Tan Sri P.Ramlee kerana bakat luar biasanya yang tiada tandingan. Selain itu saya juga menjadikan Allahyarham Fadhil Ahmad dan S.Atan sebagai idola dalam perjalanan karier sebagai pemain gambus.
Teks Hafizan Mohd
Foto Patrick