Jenamanya semakin mendapat perhatian pencinta fesyen dunia. Mewakili beg tangan, aksesori, jam tangan dan haruman. EH! membawakan temu bual eksklusif bersama peneraju jenama ini, Paris Hilton.
BAGAIMANA IDEA JENAMA INI BERMULA?
Saya seorang yang amat mencintai fesyen dan pada saya setiap wanita tidak perlu berhabis untuk kelihatan bergaya serta glamor. Dari sini ilham menubuhkan label fesyen bermula bagi merai wanita dan fesyen mengikut cita rasa saya dan pada masa yang sama memberi peluang kepada semua wanita untuk bergaya pada harga berpatutan.
INSPIRASI SETIAP KOLEKSI?
Kehidupan yang saya lalui seharian menjadi ilham setiap koleksi yang ada. Setiap tempat berbeza membawa saya berjumpa orang berbeza yang memberi inspirasi yang berbeza-beza.
BERAPA RAMAI PEREKA DI BAWAH JENAMA INI?
Untuk beg tangan dan aksesori ada empat pereka kesemuanya yang sentiasa hadir dengan idea cukup hebat. Selain bertanggungjawab membantu saya dalam mendapat ilham mereka juga orang penting dalam menentukan hala tuju kreatif jenama ini baik dari segi logo, pemilihan fabrik dan reka bentuk.
SIAPA WANITA ‘PARIS HILTON’?
Seorang yang bijak, ceria, mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi serta glamor!
VISI JENAMA INI?
Jenama ini merupakan refleksi terbaik kepada kehidupan dan visi saya, justeru memastikan jenama ini terus berkualiti adalah perkara utama yang harus menjadi perhatian.
KEUNIKAN JENAMA INI?
Produk yang dihasilkan sentiasa berteraskan elemen glamor dan seksi. Setiap kali saya tampil dengan koleksi terbaru saya sentiasa menitikberatkan empat perkara utama iaitu kemewahan, sofistikated, feminin dan kegembiraan yang membentuk definisi seksi!
KOLABORASI BERSAMA PEREKA TERKENAL?
Saya mendapat banyak tawaran daripada beberapa pereka untuk berkolaborasi. Masih dalam penelitian dan belum membuat apa-apa keputusan.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Saya mahu membuka cawangan lagi di beberapa negara dan ini menuntut persiapan cukup rapi. Hal ini sentiasa membuatkan saya teruja.
Teks Hafizan Mohd