Mungkin ketika awal 20-an, ramai yang berlumba-lumba untuk membeli kereta idaman masing-masing. Setelah mencecah akhir 20an, rata-rata sudah berumah tangga dan mula merancang keluarga, aset yang penting sekali tentulah rumah. Sekiranya anda baru pertama kali mahu membeli rumah dan berada di dalam kegelapan, kami ada beberapa tip untuk membantu persediaan anda.
1. Pastikan ansuran bulanan yang dibayar setiap bulan tidak melebihi 1/3 daripada gaji anda. Anda juga harus memikirkan komitmen anda yang lain seperti insurans, simpanan, makan minum sebelum membeli rumah yang mampu dimiliki.
2. Cari peguam yang dipercayai untuk menguruskan jual beli rumah kerana transaksi ini melibatkan geran dan wang ratusan ribu ringgit. Anda memerlukan hitam putih perjanjian untuk transaksi ini.
3. Pihak bank hanya akan memberi pinjaman mengikut nilai rumah dan bukanlah mengikut harga pasaran. Walau bagaimanapun, nilai rumah dan harga pasaran tidak begitu banyak bezanya.
4. Kunjungi bank-bank utama di Malaysia dan semak berapa jumlah pinjaman yang boleh diberikan kepada anda. Bukan itu sahaja, jumlah bunga yang dikenakan juga harus diambil kita. Survey dahulu sebelum bersetuju untuk membuat pinjaman.
5. Bandingkan harga rumah pilihan anda dengan beberapa agen perumahan yang menyenaraikan iklan penjualan rumah di kawasan tersebut. Semak laman-laman web khas untuk penjualan rumah untuk memulakan ‘penyiasatan’ anda. Jangan pilih yang paling murah tanpa menyemak keadaan rumah tersebut terlebih dahulu.