Andai mahu menuai gaya moden di dalam penampilan Aidilfitri biar berpada-pada. EH! kongsikan ilham buat anda bagaimana mencipta keseimbangan antara gaya moden dan tradisional.
1. Andai mahu gandingkan kebaya bersama seluar, pilihlah material dan potongan yang bersesuaian. Potongan skinny, lurus atau lebar antara yang boleh dipertimbangkan. Warnanya juga mestilah lebih gelap dan tidak terlalu terang.
2. Usah gandingkan busana tradisi dengan denim. Ia terlalu ‘keras’ dan tampak santai. Tidak begitu sesuai untuk Hari Raya.
3. Jika mahu memberi nafas baru kepada busana tradisi, mungkin anda boleh memadankan dan bermain dengan aksesori. Pilihan rantai dan gelang juga bisa mencipta wajah baru pada keseluruhan gaya.
4. Pilihan sepatu atau beg tangan juga bisa memodenkan busana tradisi dalam cara yang lebih positif, tidak keterlaluan dan dalam masa yang sama cita rasa moden itu masih boleh diterima.
5. Busana tradisi kita memang dikenali dengan gayanya yang sopan, maka elakkan memodenkannya dalam gaya yang terdedah, lebih-lebih lagi jika anda menggayakannya untuk meraikan ketibaan Syawal.
6. Hidupkan busana tradisional dengan memilih rona-rona terang seperti yang hangat di dalam koleksi pereka antarabangsa, rona neon dan fluorescent untuk mencipta impak moden namun masih mengekalkan potongan dan keaslian busana tradisi itu sendiri.
7. Terapkan corak dan cetakan gaya moden pada material busana tradisional. Ia lebih menarik dan menjadikan busana lebih hidup dan relevan dengan kerancakan trend semasa.
8. Perindahkan perincian. Hari ini kita lihat banyak bentuk dan jenis manik atau labuci diperkenalkan, jadi ambil peluang untuk mencipta perincian yang lebih kemas, menarik dan tersendiri. Jika dahulu hanya labuci dan manik bulat, kini penampilan baju tradisional Melayu pasti lebih bersinar.
Teks Khairul Abidin Ishak