Dibawakan khas oleh Haus Laboratories dengan kerjasama Coty, wangian pertama Lady Gaga dengan teknologi inovatif dan luar biasa dilancarkan di Singapura dalam acara yang cukup menarik lagi unik. Lady Gaga FAME satu-satunya wangian yang hadir dengan cecair hitam lalu menjadi jernih sebaik memercik ke udara. Ia adalah inovasi unik dalam teknologi cecair wangian yang diperkenalkan oleh Haus Laboratories buat kali pertama. Apa yang membuatnya lebih istimewa, wangian ini juga berkolaborasi dengan Lady Gaga, manakala legenda fesyen iaitu Nick Knight mengilhamkan botol wangian tersebut. Steven Klein pula menghasilkan kempen iklan Lady Gaga FAME.
Wangian ini dihasilkan dengan tiga jenis gabungan iaitu ‘gelap’, sensual dan ringan. Bagi wangian ‘gelap’ ia merupakan inspirasi bunga beladona yang mana ia selalunya dikaitkan sebagai bunga beracun tetapi menjadi idaman wanita cantik. Disusuli dengan wangian sensual iaitu madu, safron dan nektar aprikot. Akhir sekali adalah wangian ringan iaitu bunga-bungaan segar seperti orkid dan melur yang melambangkan kecantikan abadi. Kesemua wangian ini digabung mesra menghasilkan wangian yang kaya dengan sensasi buah-buahan serta flora berinspirasi beladona yang melambangkan keseluruhan wangian Lady Gaga Fame.