Percaya atau tidak, pemilihan warna dinding di rumah anda banyak mempengaruhi mood anda. Menurut kajian yang dilakukan oleh Minnesota State University, warna merah boleh menambahkan tekanan kepada penghuninya. Kepada anda baru bercadang untuk mengecat rumah anda, mari semak warna-warna di bawah ini yang dipercayai boleh mengurangkan tekanan kepada anda.
Biru Air
Menurut kepercayan feng shui, rona biru boleh mengurangkan degupan jantung dan tekanan darah. Ia dikatakan mengingatkan anda kepada langit dan deruan air yang mampu memberikan ketenangan secara semula jadi kepada penghuni rumah.
Hijau Pudar
Sekiranya anda gemarkan warna hijau, pilih hijau yang pudar dan tidak terlalu terang. Warna hijau kekuningan atau hijau lembut adalah sangat menenangkan dan sesuai untuk dinding di dalam ruang rehat di rumah anda.
Merah Jambu Lembut
Mungkin warna merah jambu terang menampakkan kemodenan tetapi lama-kelamaan warna tersebut akan membuatkan fikiran anda cepat serabut. Merah jambu lembut bukan sahaja boleh menenangkan hati tetapi menjadikan ruangan di dalam rumah tampak lebih santai.
Kelabu dan Beige
Mungkin warna-warna neutral ini perlu menjadi pilihan utama anda untuk mendapatkan suasana yang jauh lebih tenang di rumah. Untuk mendapatkan tenaga daripada warna dinding anda, pilih warna beige yang sudah hampir dengan kuning atau gabungkan kelabu dengan biru atau putih. Kelabu turut dipercayai mampu menampakkan rumah anda lebih luas.