Gambar : Shutterstock
Untuk cantik mesti kena rajin, kalau terlalu malas atau kekurangan bajet pun sekurang-kurangnya ambil saja bahan di dapur untuk manjakan kulit. Percayalah tidak sukar pun!
1. Kulit Kering – Avokado, Minyak kelapa dara dan Madu
Campuran ini sangat bagus untuk kulit yang kering dan mengelupas. Avokado dan minyak kelapa dara dapat memberi kelembapan pada kulit manakala avokado dengan madu pula dapat melegakan dan merawat kulit yang mengelupas. Antara selebriti yang gemar menggunakan pupur avokado adalah seperti Victoria Beckham dan Jessica Biel, jadi kalau mahu cantik seperti mereka bolehlah cuba!
Caranya:
Lenyekkan avokado sehingga lembut dan berkrim, kemudian campurkan bersama madu dan minyak kelapa dara. Sapukan pada wajah kemudian biarkan 10-15 minit. Bilas dengan air suam, hasilnya kulit menjadi cukup lembap dan lembut.
2. Kulit berjerawat dan merengsa – Mil Oat
Mil oat mampu melegakan kulit yang merengsa dan bermasalah. Campurkan bersama madu dan yogurt ia dapat menjadikan kulit lebih lembut dan melegakan.
Caranya:
Campurkan air pada mil oat dan kacau beberapa minit sehingga ia lembut. Tambahkan madu dan yogurt dan letakkan di dalam pengisar sehingga semua bahan sebati. Sapukan pada wajah dan biarkan selama 10 minit. Bilas dengan air suam dan keringkan.
3. Kulit berminyak dan bermasalah – Strawberi dan Lemon
Sementara asid salisilik dapat merawat kulit berjerawat, lemon pula berupaya menyingkirkan sel-sel kulit mati dan mengecilkan pori-pori. Jadi kombinasi ini cukup sempurna untuk kulit yang licin berseri.
Caranya:
Campurkan hirisan strawberi dan perahan lemon didalam pengisar. Dan kisarkan hingga sebati. Jika inginkan kulit lebih lembut dan dirawat sempurna tambahkan yogurt dan madu. Kisarkan semuanya kemudian lumur pada kulit wajah. Biarkan seketika kemudian boleh dibilas atau dilap menggunakan tuala bersih. Siap!