Dengan sekali lafaz, Awie selamat bernikah untuk perkahwinan kali ketiga bersama pasangan pilihannya, Sharifah Ladyana tengah hari tadi.
Acara ijab dan kabul pasangan ini berlangsung dengan dihadiri anak-anak penyanyi rock itu serta ahli keluarga di sebuah lokasi yang dirahsiakan kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Pada jam kira-kira 12.10 tengah hari, mereka selamat bergelar suami dan isteri.
Menurut laporan BH Online, Awie memaklumkan yang mana dia memilih isterinya itu kerana dia menerima anak-anak Awie serta boleh melayan kerenah anak-anaknya itu seperti darah daging sendiri.
“Dia wanita yang bersederhana dalam segala hal serta pandai membawa diri. Paling penting, dia bukan saja menerima saya seadanya, malah menyayangi anak-anak saya tanpa syarat. Keikhlasan itu yang menambat hati saya untuk menyuntingnya sebagai suri hidup. Bagi saya, kebahagiaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu,” kata Awie.
Awie dan pasangan memilih untuk tampil dengan rona hitam berkonsep kemelayuan di majlis pernikahan mereka. Pasangan ini bakal meraikan perkahwinan mereka di tepi pantai pada malam ini dengan tetamu undangan seramai 250 orang.