Zarina Zainuddin kini kembali berhijab sepenuhnya selepas secara tiba-tiba menangis di dalam sujud kala bersolat Subuh pada hujung September lalu.
Menurut pelakon tempatan ini, dirinya juga mendengar suara seakan meminta untuk dirinya berubah ke arah lebih baik kala bersujud di dalam solat subuh itu.
“Entahlah, tiba-tiba apabila melihat anak-anak, terasa sayu di hati. Selama ini, ketika saya menunaikan solat, sukar untuk saya melakukannya dengan khusyuk. Bagaimanapun pada Subuh Jumaat itu (30 September), sewaktu solat, hati terasa sayu dan tiba-tiba pula saya menangis ketika sujud. Saat itu, seakan-akan ada suara yang berkata, berubahlah untuk kebaikan. Kemudian saya berdoa kepada Allah, kenapa saya tidak mendapat hidayah-Nya, apakah saya jahat atau adakah hati saya keras untuk mengikut suruhan-Nya? Sedangkan, saya sudah berasa semua kesusahan, kesenangan dan kebahagiaan yang Allah beri. Saya berdoa kepada Allah, saya tidak mahu apa-apa lagi kerana sudah serba cukup, mempunyai keluarga sempurna, anak-anak, suami dan madu yang baik, tetapi iman pula belum kuat,” katanya kepada BH Online.
Bagi Zarina, dia tidak mahu terlalu terbuka bercerita akan penghijrahannya yang masih lagi baru itu kerana dirinya risau akan sebarang ujian atau dugaan di masa akan datang.
Zarina dalam masa yang sama banyak berterima kasih kepada pengikut-pengikutnya di laman sosial yang sentiasa mendoakan yang baik-baik buatnya dan keluarga. Dia berharap yang Allah dapat membantunya ke jalan yang lebih baik.