Nabila Huda dan suami, Mohd Izwan Johar kini sedang bekerja menyiapkan dua program televisyen dan dalam masa yang sama bercuti di Australia selama sebulan.
Menerusi gambar yang dikongsikan oleh anak kepada vokalis kumpulan Search ini di laman Instagram miliknya, boleh dilihat yang mana Nabila atau lebih dikenali dengan panggilan Abil cukup teruja dengan percutiannya kali ini.
Yang menjadikan ia satu percutian yang lain dari lain, kali ini Abil turut berpengalaman untuk menaiki helikopter serta kembara menaiki sebuah karavan merantau di negara kanggaru ini.
“Sudah lama saya menyimpan impian untuk bercuti menaiki karavan bersama orang tersayang. Alhamdulillah, ia berjaya dicapai pada tahun ini. Kami boleh diibaratkan seperti bekerja sambil bercuti sepanjang berada di sini. Kami melawat tempat-tempat menarik di Australia dengan menaiki karavan bersama beberapa kru produksi. Malah, adakalanya kami menukar arah perjalanan pada saat akhir, jika masing-masing bersetuju. Antara tempat menarik yang sudah pun kami kunjungi termasuk Gold Coast, Brisbane, Melbourne dan banyak lagi sepanjang 15 hari di sini. Kami masih perlu mengunjungi 11 lagi lokasi untuk program travelog ini,” katanya kepada BH Online.
Program Romantika yang merakam percutian mereka di Australia ini bakal bersiar pada 31 Oktober ini. Tidak dinafikan yang Abil dan suami cukup merindui anaknya Keisha yang berada di Malaysia.
EH! kongsikan gambar percutian Nabila Huda dan suami di Australia di bawah.