Adira Suhaimi merancang untuk bersalin dan berpantang di kampung kelahirannya di Kundasang, Sabah.
Isteri kepada ahli perniagaan yang juga bintang kelahiran Akademi Fantasia, Adira yang kini sedang hamil lima bulan merancang mahu melahirkan anak sulungnya di Sabah.
Adira dijangka akan bersalin pada bulan Mac tahun hadapan. Penyanyi ini memaklumkan yang mana ibunya kini mengalami masalah kesihatan yang tidak menentu dan disebabkan itu Adira mengambil keputusan untuk bersalin di sana nanti.
“Mengikut perancangan, saya berhasrat untuk bersalin dan berpantang di kampung kerana ibu kurang sihat. Biasalah sakit tua, keadaan kesihatan ibu perlukan pemantauan. Walaupun ibu sekadar menjadi peneman, nasihat dan petuanya masih saya perlukan. Pada masa sama apabila di kampung tidaklah nanti saya risau akan kesihatannya disebabkan ibu ada di depan mata. Namun semuanya masih berada dalam perbincangan dengan suami. Ada lagi empat bulan untuk dipertimbangkan. Jika tiada aral melintang, saya berharap segala yang dirancang akan berjalan dengan lancar,” ujar Adira kepada BH Online.
Tambah Adira lagi, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan teruk ketika hamil sekarang ini. Namun dia akui yang dirinya mudah lapar ketika waktu malam. Adira turut menyatakan yang sepanjang hamil ini dia kurang menggemari masakan dari restoran dan lebih sukakan masakan di rumah.