Empat hari tiga malam di kota yogyakarta membuahkan satu pengalaman yang manis.
Saya disana bersama tiga lagi teman rapat menghabiskan masa sepenuhnya dengan mengejar saat terbit mentari dan senja di lokasi bersejarah juga keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara untuk kunjungan ramai.
Sebelum ini saya hanya mengenali Yogyakarta dengan keindahan gunung berapi juga dari filem AADC yang menampilkan tempat tempat menarik di sana, tetapi kali ini, saya berkesempatan untuk mengalaminya sendiri, dimana dan bagaimana keindahan suasanan kota yang diperkaya dengan keindahan semula jadi dan sejarah ini, tidak dilupa kehidupan warga di sana hidup dengan asas kehidupan yang sederhana.
Saya bariskan 5 lokasi menarik wajib pergi untuk menyaksikan suasana matahari terbit dan terbenam!
1. Kebun Buah Mangunan
Memulakan kembara seawal empat pagi. Kami tidak melepaskan peluang merakam keindahan matahari terbit di sini dengan suasana hutan tebal diselaputi kabus tebal. Sedikit dinggin, kami dipersembahkan dengan keindahan matahari terbit dengan warna langit yang berwarna warni. Perjalan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk tiba kesini dari lokasi penginapan.
2. Hutan Pinus Mangunan Dlingo
Hutan pokok pain ini adalah antara lokasi kegemaran saya. Suasananya sama seperti berada di dalam set pengambaram filem romantik Twilight. Sebaik sahaja turun dari Kebun Buah Mangunan kami terus singgah ke sini untuk meluangkan masa menikmati keindahan hutan pokok pain juga bergambar.
3. Gunung Merapi
Merupakan gunung berapi teraktif di Negara Indonesia. Saat tiba dilokasi kami sudah pun kesiangan dek kerana terbangun lewat pagi itu, namun pemandangan di kaki gunung tetap kelihatan indah dan berkabus dengan dikelilingi kehijauan hutan. Pengalaman ke sini tambah indah dengan mendaki gunung bersama jeep yang boleh disewa pada harja 350 ribu rupiah (untuk satu jeep).
4. Pantai Wediombo
Merupakan salah satu lokasi popular buat pemancing. Pantai ini memiliki sebuah kolam renang yang terdapat di pinggit pantai yang dipisahkan oleh dua batu karang menjadikan ia lokasi wajib untuk bermandi manda! Dalam bahasa jawa ‘wedi’ bermaksud pasir dan ‘ombo’ bermaksud luas. Suasana matahari terbenam disini merupakan satu momen yang wajib dirakam!
5. Candi Ratu Boko Yogyakarta
Antara lokasi terbaik buat menyaksikan keindahan matahari terbenam. Disebalik sejarah legenda Ratu Boko lokasi ini berada di atas Bukit Seribu dengan ketinggian kurang lebih 200 meter dari permukaan laut! Selain menikmati keindahan matahari terbenam sambil duduk di padangnya yang terbentang luas menghadap gerbang utama. anda juga turut melihan Candi Prambanan dengan latar belakang Gunung Merapi, Gunung Merbabu dan separuh kota Yogyakarta yang terbentang luas.