Jerawat hadir di wajah akibat daripada rejim penjagaan wajah yang tidak betul, perubahan hormon mahupun diet yang tidak seimbang.
Ada jerawat yang menjadi kemerahan dek kerana tindak balas kulit wajah yang terluka akibat jerawat, dan lama kelamaan meninggalkan kesan yang tidak disenangi. Ketahui bagaimana mengelakkan kesan kemerahan jerawat di wajah dan kulit bebas parut!
1. Ikuti rejim cuci wajah yang betul Cuci wajah dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan malam sebelum tidur. Selepas itu, jangan lupa sapu serum dan juga pelembap muka. Elak daripada menggunakan pencuci yang mempunyai bahan kasar atau menggosok muka menggunakan skrub dengan gosokan yang kuat. Tekap muka perlahan-lahan agar tidak mengganggu permukaan wajah yang berjerawat.
2. Minum air Kebanyakan doktor menyarankan untuk lelaki minum air sebanyak tiga liter manakala wanita 2.2 liter sehari. Pengambilan air penting bagi mengelakkan kulit menjadi kering yang menyebabkan nutrisi tidak dapat disalurkan dengan baik ke bahagian kulit muka.
3. Vitamin Penyelidik mendapati ada beberapa jenis vitamin yang membantu mengelakkan masalah parut jerawat dan menjadikan kulit lebih sihat. Antaranya ialah:
Vitamin A – Kekurangan vitamin A dalam badan menyebabkan anda mudah mendapat keradangan pada kulit. Ia mengandungi antioksida yang melambatkan proses penuaan dan mengelakkan penghasilan radikal bebas yang boleh merosakkan sel kulit.
Vitamin B6 – Ia meresap ke dalam air dan keluar bersama bahan kumuh dari badan, justeru penting untuk anda mengambil vitamin ini setiap hari. Vitamin B6 membantu merawat masalah jerawat dan pelbagai sakit dalaman wanita.
Vitamin C – Menghasilkan kolagen yang membantu menjadikan kulit sihat. Mengelakkan radang pada jerawat dan sumber utama bahan anti-oksida.
4. Gunakan krim tabir suria Cahaya matahari menyebabkan kesan kemerahan pada wajah menjadi semakin teruk dan kelihatan jelas. Justeru, penting untuk anda menggunakan krim tabir suria yang menghalang sinar matahari mengenai secara terus pada jerawat. Wanita yang mempunyai kulit berminyak dinasihatkan menggunakan krim tabir suria bebas minyak serta melebihi faktor 30 yang mengelakkan jerawat bercambah.