Baru-baru ini kecoh di media sosial yang mengaitkan kenyataan Nora Danish yang meminta untuk perlepasan cukai buat selebriti kerana kos penampilan diri yang tinggi.
Terkini, menurut Pegawai Perhubungan Awam (LHDN), Masrun Maslim, selebriti sememangnya diberikan potongan cukai untuk kos penampilan diri. Katanya lagi kepada Projek MMO, kerajaan sebenarnya telah pun memberikan potongan tersebut untuk bayaran seperti jurusolek, sewaan pakaian, pengurusan artis, kos perjalanan dan banyak lagi.
Namun katanya lagi, perbelanjaan sebegini tiada peruntukan tertentu kerana ia tergantung pada perbelanjaan seseorang artis tersebut dalam menjaga ciri-ciri penampilan mereka untuk profesion mereka.
“Setiap tahun mereka kena hantar Borang B. Jadi mereka boleh tuntut belanja operasi setiap tahun. Mereka perlu simpan semua dokumen sokongan seperti invois termasuk, pembelian alat solek, baucar bayaran jurusolek dan pengurus artis, resit pembelian dan lain-lain,” ujar pegawai tersebut lagi.
Masrun menjelaskan yang mana terma yang sepatutnya digunakan oleh selebriti untuk perlepasan cukai itu adalah perbelanjaan operasi sebagai seorang artis. Menurutnya lagi, ramai selebriti telah dikenakan cukai yang tinggi kerana mereka tidak menghantar borang cukai kepada LHDN serta ramai diantaranya gagal mengemukakan penyata dan dokumen sokongan yang lengkap.
Nora yang telah dikecam teruk pengikutnya di laman sosial turut memuat naik sekeping gambar di Instagram miliknya bersama dengan kapsyen yang menjelaskan permintaan pengurangan cukai tersebut dan bukannya pengecualian sepenuhnya untuk artis.