Penyanyi tersohor negara yang telah mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna berkongsi perasaan dukacitanya setelah pilihanraya untuk presiden ke-45 negara pesat itu memihak kepada Donald Trump.
Menerusi aplikasi laman sosial, Snapchat, Yuna sempat merakam dirinya bersama teman yang sedang menonton berita keputusan pilihanraya yang mana persaingan sengit di antara Donald Trump dan Hillary Clinton sambil berkata “Guess we are going home.”
Keputusan undian yang memihak kepada Donald Trump yang mana terang-terangnya sebelum ini melaksanakan kempen dan menyebarkan semangat kebencian terhadap orang Islam serta bersifat perkauman terhadap warna kulit menjadikan ramai penduduk yang beragama Islam mula rasa tidak aman di sana.
Bahkan menerusi kempennya sebelum ini, Trump turut berkata “Saya rasa Islam benci pada kita (Amerika). Kita perlu selesaikannya dari bawah. Terdapat kebencian yang mendalam pada kita. Jadi kita tidak boleh membenarkan mereka yang mempunyai rasa benci ini dari memasuki Amerika.”
Yuna turut berkata di dalam rakaman Snapchat nya itu, “Saya bangun pagi ini dengan rasa sedikit kekalahan, jadi saya rasa saya patut bercakap dengan anda semua. Berhijrah ke Amerika adalah satu langkah besar bagi saya. Dan saya seorang warga Malaysia yang beragama Islam. Saya sudah berada di dalam industri muzik selama 10 tahun dan saya menutupi rambut saya.
“Datang ke sini untuk meluaskan karier muzik saya sememangnya amat teruja bagi saya kerana di sini orang jarang melihat seorang penyanyi pop yang memakai hijab. Secara jujur, saya rasa ianya cool bila orang datang kepada saya dan bertanya ‘kenapa saya menutup rambut saya?’ dan jawapan saya sangat ringkas kerana saya mempunyai identiti yang berbeza serta saya mahu berpegang kepadanya.
“Jadi, selama lima tahun sepanjang saya di sini, saya berhadapan dengan banyak sesi interviu dan soalan-soalan sebegini. Tetapi hari ini saya rasa ia agak berbeza dan sedikit sukar. Saya sering menasihatkan ramai gadis-gadis untuk berbangga dengan identiti diri dan pegang pada akar umbi kita. Saya sentiasa menyalurkan aura cinta dan sayang itu kepada semua orang serta Islam itu bukannya pengganas. Namun, dipihak lain pula menyebarkan fitnah, kebencian, Islamophobia, perkauman dan sebagainya secara umum. Dan hari ini mereka menang tipis. Jadi jika anda rasa agak kalah hari ini, awak tidak keseorangan. Jangan takut, just be yourself and don’t change your identity.”
Yuna turut berkongsi yang mana pernah seorang gadis Malaysia yang berhijrah ke Amerika menghantar tweet kepadanya supaya berkongsi tutorial mengenakan turban kerana katanya jika Trump menang, dia akan menukar hijabnya kepada turban.
Penyanyi kelahiran Kedah ini menasihatinya supaya kekal dengan identitinya, tetapi dia faham akan situasi sekarang ini setelah Trump menang pilihanraya kali ini. Setelah itu, Yuna rasa bersalah dan turut berkongsi tutorial turban untuk gadis tersebut, pada masa yang sama mengharapkan supaya semua masyarakat Islam di Amerika Syarikat tetap pada pendirian dan pegangan masing-masing.
https://www.instagram.com/p/BMnSuA0BUYq/?taken-by=yunamusic&hl=en