Pada awalnya, Bali bukanlah pilihan pertama saya untuk bercuti penghujung tahun ini.
Tapi dalam memenuhi jemputan ke majlis resepsi rakan baik, saya kembali ke pulau peranginan popular ini selama tujuh hari. Di sebalik kesesakan manusia dan ‘macet’, boleh saya katakan Bali adalah antara tempat yang saya mahu pergi setiap tahun.
Ia adalah sebuah syurga dunia yang kaya dengan keunikan alam semulajadi dan keseronokan yang tidak akan membosankan anda. Hanya tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur, setiap kunjungan ke Bali juga tidak akan mengoyakkan poket. Banyak pilihan dari segi tempat penginapan, makanan dan pengangkutan yang murah dan berbaloi.
Kerana ini bukanlah kali pertama saya ke sini, kunjungan saya kali ini lebih relaks. Saya tidak banyak melakukan aktiviti mahupun pergi meneroka tempat pelancongan popular. Tapi saya senaraikan beberapa aktiviti yang saya lakukan di Bali sebagai rujukan pabila anda ke Bali nanti.
1. Majlis Resepsi di Uluwatu
Menjadi impian saya untuk menghadiri (bukan melangsungkan) majlis resepsi di Bali. Ia menjadi kenyataan selepas rakan saya memberitahu awal tahun ini yang dia akan melangsungkan sebuah resepsi kecil-kecilan di sana. Berlangsung di The Edge Uluwatu, ia adalah lokasi perkahwinan yang paling indah pernah saya hadiri. Paling utama, majlis resepsi ini berlatarkan matahari terbenam yang sungguh magikal.
2. Air Terjun Tegenungan, Ubud
Selain jaluran pantai, Bali juga terkenal dengan keindahan alam semulajadi yang boleh anda kunjungi nanti. Jika anda merancang untuk ke Ubud, saya sarankan anda untuk pergi ke Air Terjun Tegenungan yang dikelilingi dengan kehijauan hutan. Bukan sahaja menjadi lokasi pengambaran buat akaun Instagram anda, air terjun ini juga sesuai untuk akan bermandi-manda.
3. Museum Puri Lukisan, Ubud
Bali terkenal dengan budaya dan seni bina yang cukup ikonik. Pengaruh agama Hindu yang kuat dalam kehidupan harian masyarakat Bali membuatnya unik dan berbeza dari kepulauan Indonesia yang lain. Jika anda adalah peminat seni, Museum Puri Lukisan ini menampilkan ratusan karya asli dan moden yang akan memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan masyarakat Bali sejak dahulu lagi.
4. Bebek Tepi Sawah
Selepas bermandi-manda di Air Tejun Tegenungan, perut pasti mula bernyanyi rancak bukan? Saya ke Bebek Tepi Sawah yang terletak di Ubud untuk makan tengah hari. Bebek atau itik adalah hidangan utama di sini yang juga merupakan masakan tradisi masyarakat Bali. Buat yang pertama kali, saya sarankan anda untuk mencuba Tepi Sawah Crispy Duck yang menjadi signature. Rasanya yang sangat menyelerakan, tidak hairanlah ramai yang hanya memakan itik di Bali.
5. Nalu Bowls, Canggu
Fenomena Nalu Bowls ini cukup kuat pengaruhnya dikalangan golongan muda yang berkunjung ke Bali. Ia adalah semangkuk makanan sarat kebaikan dan diperkaya dengan bahan-bahan lokal yang bermutu tinggi dan segar seperti granola, buah-buahan dan sayuran seperti Acai, kelapa, epal, strawberi, mangga, betik, pisang, madu dan banyak lagi. Walaupun berharga sekitar RM20 hingga RM30 semangkuk, saya pasti anda akan berpuas hati berasa lebih sihat dengan setiap suapan nanti
6. Sisterfields, Seminyak
Seperti di Jakarta dan Kuala Lumpur, Bali juga turut menerima tempias café culture Australia yang kini boleh didapati di seluruh Bali lebih-lebih lagi di sekitar Kuta, Seminyak dan Canggu. Antara yang sempat saya singgah adalah Sisterfields di Seminyak. Melangkah masuk, saya terpegun melihat dekorasinya yang cukup moden dan minimalis. Dan dipenuhi oleh pengunjung lebih-lebih lagi warga Australia sedang menimati brunch. Buat penggemar pemanis mulut, saya sarankan anda untuk mencuba seleksi menu di sini bersama secangkir kopi.
* Selain menyewa motosikal, perkhidmatan Uber dan Grab adalah pilihan pengangkutan yang paling murah di Bali berbanding teksi. Tapi kebanyakan lokasi perlancongan popular di Bali tidak membenarkan kereta Uber/Grab untuk mengambil penumpang di sana.