EH! mendapat ruang untuk menemubual secara eksklusif bersama Dato’ Rizalman beberapa hari sebelum dia melancarkan himpunan bridalwear nya bersama Zalora. Helaian himpunan ini dijual pada harga bermula daripada RM1080 sehingga RM2,800.
Bagaimana kolaborasi ini boleh tercetus?
Idea asal datangnya daripada Zalora. Selepas saya menamatkan kolaborasi untuk himpunan raya tahun ini jadi saya hanya membuka hati untuk kolaborasi yang berbeza. Lagipun industri baju sedia pakai (ready-to-wear) sudah menyumbang berbilion ringgit di seluruh dunia jadi saya fikir RTW untuk himpunan pengantin sesuatu yang menarik untuk diterokai di Malaysia. Lagipun di luar negara perkara ini bukan baru.
Secara peribadinya, apa pendapat Dato’ tentang idea RTW Bridalwear ini?
Saya lihat ini adalah ruang untuk saya berbakti kepada orang ramai sebenarnya. Bila ramai orang kata teringin memakai Rizalman di hari besar mereka, jadi saya cuba memenuhi angan-angan mereka. Lagipun rekaan baju kahwin cukup dekat di hati saya, malah koleksi saya sewaktu tamat belajar di ITM dulu pun himpunan perkahwinan.
Apa cabarannya menyiapkan koleksi perkahwinan RTW? Mungkin dari segi rekaan atau pemilihan fabrik memandangkan harganya perlulah berpatutan.
Jika dari segi rekaan ialah saya perlu menghidangkan rekaan yang sesuai dengan adat, budaya, sensitiviti juga ‘custom‘ orang kita sendiri. Perlu fikir satu-satu rekaan itu perlu ada lining atau tidak, perlu ketat atau sebaliknya. Dari segi fabrik bukan satu masalah kerana I’m a good fabricator.
Berapa jumlah rekaan yang boleh dipilih?
Untuk baju semuanya ada 19 dan tiga untuk veil. Baju-baju yang saya reka masih ada ruang untuk pembeli berkreatif. Maksud saya pembeli masih boleh menokok tambah aksesori misalnya untuk membuatkannya nampak berbeza dengan orang lain.
Dato’ rasa orang Malaysia sudah sedia dengan idea membeli baju kahwin secara online?
Saya rasa orang kita sudah sedia. Bagi saya ini hanyalah satu lagi fasa perubahan dalam gaya hidup kita. Dulu-dulu orang sewa di butik pengantin kemudian ramai menempah baru. Sama seperti mula-mula e-commerce diperkenalkan, kita sendiri ragu-ragu boleh jalan ke? Akan ada ke orang nak beli? Hari ini semuanya online. Ia datang dalam dua cara, sama ada permintaan datang dulu atau penawaran yang ada dulu.
Bagaimana Dato’ melihat persaingan memandangkan ada juga pereka lain yang memasarkan himpunan perkahwinan sedia pakai?
Saya melihat persaingan bukan masalah besar. Saya percaya pada jenama Rizalman itu sendiri, usianya sudah 25 tahun dan lebih established, dan harga baju-baju saya lebih murah. Dari situ saya lihat soal persaingan itu sudah ‘selesai’. Contohnya Dior dijual lebih murah berbanding Alexander Wang, of course orang akan pilih Dior kerana sudah tahu akan kualiti dan lebih terkenal namanya.
Apa yang peminat Rizalman boleh jangkakan selepas himpunan bridalwear ini?
Saya akan tampil dengan koleksi beg pula. Saya bekerjasama dengan jenama Sometime dan Zalora. Akan dipasarkan awal tahun depan.