Uqasha Senrose akui yang dirinya cukup selesa menjadi diri sendiri sekarang ini kerana tidak perlu lagi menjadi hipokrit.
Umum tahu yang mana aktres jelita ini sebelum ini pernah tampil bertudung, namun telah mengambil keputusan untuk tidak lagi mengenakan hijab kerana dirinya masih belum bersedia sepenuhnya.
Akuinya kepada Astro Gempak yang mana dia penat untuk menjaga hati orang lain sedangkan kepentingan dirinya diabaikan. Uqasha turut menyatakan yang dirinya kini lega dengan keputusannya itu.
“Kalau orang tak suka tak mengapalah. Memang dari mula saya bertudung pun tetap ada orang tak suka jadi saya nak buat bagaimana? Kita tak dapat nak puaskan hati semua orang. Saya syukur kerana mempunyai keluarga yang amat memahami diri saya. Sebelum saya buat keputusan untuk membuka tudung, ya memang saya berfikir terlebih dahulu tentang akibat yang akan saya terima, tapi apa yang saya boleh katakan, saya memilih untuk tidak mahu menjadi hipokrit dengan semua orang,” kata Uqasha kepada Astro Gempak.
Tidak dinafikan yang salah seorang adik beradik kepada Senrose ini menerima banyak teguran dan kata-kata negatif setelah membuat pengakuan tidak lagi berhijab, namun Uqasha terima segala tohmahan yang diberikan kepadanya kerana itu adalah pilihannya sendiri.
Tambahnya lagi, Uqasha sudah tidak lagi mahu menghiraukan kata-kata yang cuba menjatuhkannya kerana apa yang penting buatnya adalah dirinya gembira dan boleh menjalani rutin hariannya seperti biasa.