Apabila berdepan dengan masalah yang sukar untuk ditentukan keputusannya, manusia sering menyalahkan takdir dan menyatakan yang mereka tidak punya pilihan selain membuat keputusan yang salah.
Kita sentiasa ada pilihan, walau sehebat mana pun ujian yang berlaku. Sedangkan arah sentiasa ada kiri dan kanan, apatah pula keputusan dalam hidup.
Rina mengetuk perlahan meja. Mungkin bosan menunggu kekasih hati tidak kunjung tiba. Air di gelas semakin surut kandungannya, tapi bayang Amran masih tidak kelihatan. Ketika mata meliar mencari hiburan, terpandang dia ke arah pasangan muda yang sedang hangat bercinta sedang menikmati hidangan mereka. Mungkin keduanya berusia sekitar awal 20-an.
Gelak tawa mereka yang mengusik sesama sendiri secara tidak langsung mengukir senyum kecil di wajah Rina. Teringat kemesraan dia dan Amran ketika mereka sama-sama menuntut di universiti dahulu. Ah, manisnya kenangan itu.
“Jauh termenung?” Sapaan lembut Amran mengejutkan Rina yang tersenyum keseorangan.
Dari jauh lagi Amran sudah melihat senyuman yang sentiasa dirindukannya itu. Kasih dia pada Rina tidak pernah berubah, malah semakin bertambah dari hari demi hari. Tergelak kecil Amran kerana Rina cuba untuk merajuk, namun tidak jadi apabila disua jambangan bunga ros merah yang mewangi.
Petang itu, Rina dan Amran berbincang mengenai pelbagai perkara. Dari soal kerja sehinggalah kenangan lama ketika zaman belajar dahulu. Perkenalan mereka sejak di bangku sekolah diselangi pula dengan hubungan cinta ketika di universiti. Bak kata teman rapat, mereka adalah pasangan sehati sejiwa. Cinta sejati yang sentiasa dikagumi orang sekeliling.
Apatah lagi kedua keluarga mengenali sesama mereka, memudahkan lagi perhubungan yang sememangnya berlandaskan keikhlasan dan kasih sayang itu. Bagi Rina mahupun Amran, mereka bertuah kerana ditemukan sebagai teman baik dan juga kekasih.
Ketika sedang leka berbual mesra, telefon bimbit Amran berdering kuat. Terlihat jelas di wajah lelaki itu reaksi serba salah, sama ada perlu atau tidak dia mengganggu perbualan mereka dengan menjawabnya.
Rina tersenyum kelat, dan mengangguk perlahan. Amran mengerti, lalu bangun dan menjawab telefon bimbit, agak jauh dari tempat duduk mereka. Beberapa minit kemudian, dia kembali ke meja dengan wajah sedikit keruh.
“Rina, Amran minta diri dulu boleh? Taufiq kena cirit birit pula. Tak tahu apa yang dia makan tadi,” lembut tutur bicaranya.
Terlihat kerut di dahi tanda risau yang tidak sudah.
“It’s okay Amran. Pergilah. Nanti call Rina ya.” Wanita itu membalas dengan senyuman manis.
Amran terharu dengan sifat timbang rasa Rina dan meminta diri untuk pulang. Sebelum pergi, sempat dia buat bayaran di kaunter dan melemparkan pandangan penuh kasih buat Rina. Rina memandang kosong langkah Amran yang semakin menjauh.
Situasi yang sama ketika dia bertemu dengan Amran di lapangan terbang bulan lepas. Rina yang ketika itu sedang menunggu kehadiran adik lelakinya untuk menjemput terkejut kerana dilanggar seorang anak kecil lelaki berusia lingkungan 2 tahun. Comel. Baru sahaja dia ingin mendakap si kecil itu, kelihatan seorang lelaki datang menghampiri sambil meminta maaf.
Amran. Ya, lelaki yang dia tinggalkan 4 tahun dahulu kini berada di hadapannya. Kelu lidah kedua manusia ini sambil mata tidak beralih melihat sesama sendiri. Saat kekok itu dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita bertudung litup, manis rupa parasnya dan baik perilakunya.
Dia merangkul perlahan tangan Amran, membuatkan hati Rina bagai dihempas batu. Sakit. Amran yang terkejut dengan sapaan wanita itu segera mencapai anak kecil tadi.
“Maaf, ini anak saya Taufiq. Dia baru belajar berjalan, tak terkejar pula. Kenalkan ini isteri saya, Mastura. Sayang, ini kawan abang ketika belajar masa universiti dahulu. Tak sangka jumpa di sini,” jelas Amran sambil ketawa perlahan.
Rina cuba juga berlagak mesra dan menyatakan kebetulan itu benar tidak disengajakan. Senang hati kerana Amran masih mengingati dirinya, namun pedih pula melihat kemesraan lelaki itu tatkala memaut mesra bahu Mastura. Sebelum Amran dan keluarganya berlalu pergi, sempat dia menghulur kad perniagaan. Rina sambut dengan hati yang penuh luka. Dia melihat langkah mereka sayu.
Empat tahun bukanlah sekejap. Usai pengajian di peringkat ijazah, Rina yang datangnya dari keluarga berada mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di London. Siapa yang tidak mahu merenggut kesempatan ini? Amran pula terpaksa tinggal di Malaysia dan bekerja bagi menampung kehidupan keluarganya.
Lelaki ini mengajak Rina untuk berkahwin, namun hasratnya untuk menggapai kejayaan yang lebih tinggi membuatkan dia lupa akan cinta yang diagungkan antara mereka. Lalu, terputuslah hubungan cinta sejati ini. Betapa hancurnya hati Amran, hanya Tuhan yang mengetahui. Hampir setahun dia bertarung memerangi kekecewaan hati. Rina juga turut bersedih, kerana itu dia cuba menjauhkan diri daripada cinta lelaki sepanjang di negara orang.
Tuhan Maha Kaya. Setiap kesedihan itu, diselangi pula dengan kegembiraan buat hamba-Nya. Amran dipertemukan dengan Mastura, wanita yang penuh kelembutan dan sikap positif. Dia menjadi sebab untuk Amran bangkit dan berjaya dalam kerjayanya. Mastura bukan sahaja bertindak sebagai rakan karib, malah membantu dia untuk menambah ilmu agama.
Hati yang sakit, sedikit demi sedikit terubat dengan kehadiran wanita itu. Rezeki yang membukit mendorong Amran untuk menjadikan Mastura sebagai isterinya. Rahsia jodoh, walau bertahun dia dan Rina menyemai kasih, akhirnya Mastura yang hanya dikenali selama setahun menjadi peneman sehingga ke syurga.
Sehinggalah dia bertemu kembali dengan Rina sebulan yang lepas, hatinya kembali membangkit rasa cinta untuk wanita itu. Berkali-kali dia cuba mengelak dari menjawab panggilan Rina, namun akhirnya dia kalah. Tidak salah bukan untuk kembali menjadi kawan? Ya, memang tidak salah. Namun setiap pertemuan selepas itu membuka semula kenangan lama yang berbunga indah. Rina juga tidak menyangka yang Amran tidak menaruh dendam, malah kasih mereka seakan bertaut semula.
Orang kata, baik menghindar dari mengubati. Kini, Rina dan Amran seakan tidak boleh berenggang. Rasa rindu itu semakin membuak-buak, sementelah masing-masing juga masih punyai perasaan sayang. Mereka seakan tidak takut dengan realiti bahawa Amran sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Walau kadang ada ragu dalam hati Rina kerana menyakiti Mastura, namun kerana kasihnya kepada Amran, dia abaikan semua itu. Habis lepa Amran mengenai isterinya. Masa senggang dihabiskan dengan Rina. Setiap kali makan tengahari Rina menjadi temannya. Masalah di pejabat juga dikongsi bersama wanita itu sementelah dia lebih arif mengenai bidang kejuruteraan. Jika dibicara bersama Mastura yang berkelulusan sebagai guru, isterinya itu hanya mampu mengangguk tanpa memahami patah bicara.
Orang kata, seseorang isteri itu dikurniakan dengan deria keenam dalam perhubungan rumah tangga. Suatu petang, Mastura mendekati suaminya perlahan.
Diurut perlahan kaki lelaki itu sambil bersuara, “Abang dah lain ya sekarang,” lembut bicaranya. Amran berpaling, dan melihat wajah yang penuh ketenangan itu tersenyum. ‘Ya Allah, apa yang telah aku lakukan?’ Detak hati kecil Amran bersuara.
Tiba-tiba dia diserang rasa bersalah terhadap isteri dan anaknya. Bagaimana dia mampu untuk melukai hati wanita yang sentiasa ada ketika dia berada di puncak susah?
Wanita ini yang sanggup bersusah payah dengannya ketika Amran tidak berharta, dan kini sudah berjaya pun tidak pernah dia meminta apa-apa sebagai balasan. Amran juga lupa dengan kehadiran Taufiq yang memberi sinar dalam kehidupan keluarganya. Betapa besar kesan Rina kepada keluarga kecilnya itu.
Amran meraup wajah perlahan. Dikucup dahi Mastura dan menyatakan hasratnya untuk keluar berjumpa rakan. Mastura tidak banyak bicara, mengucup lembut tangan suaminya dan mengiringi jalan keluar lelaki itu. Lambaian dan senyuman Mastura benar beri kesan kepada dirinya. Segera dia menelefon Rina untuk berjumpa.
Pertemuan petang itu terlalu sunyi Rina rasakan. Amran lebih banyak diam dari bicara. Rina kemudian memecah sunyi dengan meminta pandangan mengenai perbincangan mereka semalam. Beriya benar Amran melamarnya untuk dijadikan isteri kedua. Walau payah untuk Rina menerima hakikat itu, namun dia tidak kisah asalkan dapat bersama kekasih yang benar dicintainya.
Dia rela berkongsi kasih dengan Mastura, kerana dia tahu Amran adalah lelaki baik yang mampu membahagi kasih sayang dengan adil. Dia tiada pilihan selain menerima takdir untuk dirinya ini.
Namun, sebaik mana pun manusia, mana mungkin dia menjadi seadilnya. Pasti ada hati yang terluka. Pasti juga ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Walau mulut mengatakan ya, tetapi dalam hati siapa yang tahu? Jika pun Mastura bersetuju, akan tetap samakah rasa percaya dan sayang yang ada dalam hubungan seperti sebelum malapetaka ini tiba?
“Maafkan Amran, Rina. Am tak boleh teruskan semua ini. Mas ada ketika Am susah. Dia jadi ubat ketika Am sakit. Sekelumit pun Rina tak toleh masa tinggalkan Am dulu, tapi Mas tak pernah sekali pun berpaling dari Am. Kenapa sekarang Am perlu tinggalkan dia ketika Am di puncak bahagia?” Berkaca mata lelaki itu merenung anak mata Rina.
Ada ketar dalam suaranya. Manakan tidak, dia bersusah payah mengumpul kekuatan untuk menidakkan rasa kasihnya pada Rina. Benar, Rina adalah kekasih yang sentiasa disayangi. Namun, pilihan mutlak berada di tangannya. Dia mampu untuk membuat keputusan kerana dia adalah ketua keluarga.
Amran bimbang jika dia tidak mampu berlaku adil kepada wanita yang begitu bermakna dalam hidupnya. Sekali lagi, Rina hanya mampu melihat kelibat Amran berlalu pergi. Walau sakit, namun dia redha. Tidak mengapalah, mungkin Amran bukan miliknya dan dia ditakdirkan untuk lelaki lain. Berbahagialah kau Amran bersama keluargamu.