Bintang popular siri Patahnya Sebelah Sayap, Ummi Nazeera, 26, selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan keluarga yang hanya ingin dikenali sebagai Mr. I, 29, pada sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya sekitar jam 2.30 semalam (11 Disember 2016).
Menurut Ummi, dia diperkenalkan oleh ibu pemuda itu pada 29 Januari tahun ini.
“Sejujurnya, kami tidak pernah bertemu atau bertentang mata sebelum ini. Saya hanya mengenali Mr. I pada 31 Januari lalu apabila dia menghantar pesanan untuk berkenalan menerusi aplikasi WhatsApp. Sejak itu, kami hanya berkomunikasi menerusi mesej tanpa bercakap atau mendengar suara masing-masing di talian telefon.
“Apabila memasuki sebulan setengah perkenalan menerusi mesej, dia akhirnya menelefon saya buat kali pertama sekali gus meluah perasaan untuk bertemu.
“Saya mengatakan bahawa dia boleh berjumpa saya dengan bersyarat dia kena menemui ibu saya terlebih dulu.
“Dia cukup berani apabila datang ke rumah keluarga kami untuk berkenalan sambil menikmati makan malam bersama ibu saya. Itu adalah kali pertama kami bertemu. Dan keberanian yang dimilikinya itu menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa dia mampu menjadi ketua keluarga kepada saya.
“Dalam hati saya, dia berjaya melepasi ujian pertama apabila bertemu dengan ibu saya. Dan atas dasar itu, saya menerima keikhlasan hatinya apatah lagi hubungan ini menerima restu daripada ibu saya. Itu yang paling penting dan bahagia buat saya,” jelasnya.
Memasuki usia tiga bulan mengenali hati budi masing-masing, Mr. I akhirnya melamar Ummi untuk meneruskan hubungan itu ke fasa seterusnya.
“Dia berjumpa ibu saya sekali lagi untuk meminta persetujuan bagi menghantar rombongan merisik. Majlis merisik diadakan dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu. Selepas menerima persetujuan daripada ibu dan saya, kedua belah pihak mencapai kata sepakat untuk melangsungkan pertunangan pada 11 Disember (semalam),” kongsi Ummi.
Mr. I yang merupakan seorang doktor berasal dari Kuala Lumpur itu diwakili oleh keluarganya menyerahkan lima dulang berbalas lima oleh pihak perempuan.
Pelakon drama bersiri popular, Patahnya Sebelah Sayap itu kelihatan anggun menyarung persalinan rekaan Fizi Woo pada hari bersejarah itu dan wajah manisnya disolek oleh jurusolek tersohor, Saidatulnisa.
“Bukan bertujuan mahu menyembunyikan hari bahagia ini. Sebaliknya, keluarga mahukan sebuah majlis ringkas dan tertutup yang dihadiri oleh keluarga rapat sahaja. Lantaran itu, saya harus menghormati permintaan mereka yang menginginkan ruang privasi.”
Jika menurut perancangan, Ummi dan Mr I bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.
EH! kongsikan gambar hari pertunangan Ummi Nazeera dan Mr.I di bawah.