Sebelum ini peminat dikejutkan dengan pengunduran Kang Gary dari program variasi popular Running Man, kini giliran Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook pula meninggalkan program tersebut.
Meskipun berita ini telah mula tersebar, tetapi tarikh akhir mereka berkuat kuasa masih lagi belum ditentukan. Ji Hyo yang sudah pun melalui sesi perbincangan bersama syarikat MY untuk menarik diri kerana sukar untuk memberikan fokus pada dua kerja serentak yang mana mempromosikan drama dan Running Man.
“Memang ada perbincangan panjang lebar dengan penerbit kerana Ji Hyo berdepan masalah sukar mempromosikan drama dan Running Man serentak. Perancangan Ji Hyo sebaik meninggalkan Running Man adalah menumpukan perhatian terhadap kerjaya lakonan. Cuma tarikh akhir pembabitannya dalam program variasi itu belum dapat dipastikan,” kata wakil syarikat berkenaan.
Manakala, Maroo Entertainment pula menyatakan yang Jong Kook turut akan meninggalkan program popular tersebut. Jong Kook dilaporkan bakal memfokuskan kerjaya solonya di dalam bidang nyanyian.
Dikhabarkan Jong Kook bakal muncul buat kali terakhir dalam program Running Man pada 19 Disember nanti. Program kegemaran ramai itu bakal mempunyai ahli seramai empat orang sahaja yang mana termasuklah Yoo Jae Suk, HaHa, Ji Suk Jin dan Lee Kwang Sook.