Industri fesyen dunia dikejutkan dengan berita kematian, Franca Sozzani salah seorang editor majalah yang dihormati khususnya dalam dunia fesyen.
Pada usia 66 tahun, Franca menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Milan, dan kematiannya dikaitkan dengan penyakit yang dihidapinya sejak sekian lama, namun belum ada khabar sahih tentang penyakit sebenarnya.
Franca sudah menakhodai majalah Vogue Italia hampir tiga dekad. Dan dia pada mulanya menyertai dunia penerbitan majalah dengan menjadi pembantu di Vogue Bambini pada tahun 1976 sebelum duduk di kerusi ketua pengarang Vogue Italia pada tahun 1988.
Orang-orang fesyen melihat Franca seorang yang sangat kreatif, bekerja keras dan cukup berani dalam menghasilkan edisi ‘luar kotak’ dengan ilham-ilham luar biasanya.
Dia banyak bekerja dengan jurugambar terkenal seperti Bruce Weber dan Steven Meisel. Antara isu yang mendapat perhatian ialah all-black issue yang diterbitkan pada tahun 2008 yang mana edisi ini hanya menampilkan model-model kulit hitam.
Dia juga menerbitkan plus size issue serta menjadi orang pertama yang meletakkan Kim Kardashian sebagai penghias muka depan majalah (untuk L’Uomo Vogue) pada tahun 2012, lebih awal berbanding American Vogue.
Franca meninggalkan seorang anak lelaki, Francesco Carrozzini yang juga seorang pengarah video. Francesco pernah berkongsi kepakarannya dengan menerbitkan video untuk Lana Del Rey juga Beyonce.
Dan tahun hadapan dia akan melancarkan sebuah filem, Franca: Chaos and Creation, sebuah filem yang memotretkan kisah kehidupan juga kerjaya ibunya, dan ia dibikin dalam masa enam tahun.
Gambar terakhir yang dimuat naik Franca di akaun instagramnya.
Franca bersama anak lelakinya di premier Franca: Chaos and Creation di New York. Gambar ini dirakam oleh jurugambar kegemarannya, Bruce Weber.