Industri hiburan dunia masih lagi terkejut dengan pemergian Carrie Fisher atau lebih dikenali menerusi wataknya sebagai Princess Leia di dalam filem siri Star Wars. Hari ini, ibunya pula Debbie Reynolds menghembuskan nafas.
Aktres yang berusia 84 tahun ini dilaporkan mengalami strok. Dia kemudiannya digegaskan ke sebuah hospital di Los Angeles awal pagi Rabu waktu LA. Legenda Hollywood ini terkenal dengan wataknya di dalam muzikal Singin’ in the Rain pada tahun 1952 bertentangan dengan Gene Kelly.
Fisher, mendiang anak kepada Reynolds meninggal dunia pada hari Selasa pada jam 8.55pagi waktu LA, pada usia 60 tahun akibat serangan jantung yang dialaminya ketika dalam penerbangan dari London ke Los Angeles.
Reynolds telah dibawa dengan ambulans ke Cedars-Sinai Medical Centre setelah dikatakan jatuh sakit pada hari semalam. Berita kematian Reynolds dikongsikan oleh anaknya, Todd Fisher.
“Dia sekarang ini bersama Carrie dan kami semua amat hiba,” ujarnya.
Todd turut menambah yang mana stres akan kematian kakaknya, Carrie “was too much” untuk ibunya alami.
Pada hari pemergian Carrie, Debbie sempat menulis di ruangan Facebook,“Terima kasih kepada semua yang telah mengagungkan bakat dan keistimewaan yang ada pada anak kesayangan saya. Saya sangat mensyukuri atas setiap doa-doa yang kalian hulurkan dalam membimbing dia ke arah kehidupan seterusnya. Love Carrie’s Mother.”
Reynolds pernah menjadi seorang wanita yang berjaya di pentas muzikal dan komedi sekitar 1950an dan 60an di Hollywood. Dia pernah tercalon sebagai Aktress Terbaik di Academy Award untuk muzikal pada tahun 1964 iaitu The Unsinkable Molly Brown.
Pada tahun lalu, Reynolds dianugerahkan dengan pencapaian seumur hidup dari Screen Actors Guild. Anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh anak perempuannya, Carrie.
Reynolds pernah berkahwin dengan Eddie Fisher pada tahun 1955 dan dikurniakan dengan dua orang anak iaitu Carrie dan Todd. Kemudiannya, pasangan ini berpisah pada tahun 1959 dan Reynolds pernah mendirikan rumah tangga dua kali selepas itu.
Mendiang Fisher juga merupakan seorang pengarang dan penulis skrip. Novel tulisannya yang semi-autobiographical berjudul Postcards from the Edge pernah diadaptasi menjadi sebuah filem yang menggandingkan Meryl Streep, Shirley MacLaine dan Dennis Quaid.
Menerusi filem itu, ia memaparkan kepayahan Fisher dalam berlawan dengan masalah pengaruh dadah dan hubungannya yang bermasalah bersama ibunya.
Hubungan Fisher dan ibunya mula berantakan sejak beberapa tahun lalu tetapi mula berbaik lama kelamaan. Dalam sebuah interviu bulan bersama saluran radio di Amerika Syarikat, Fisher menyatakan yang hubungannya bersama ibunya, “Dia seorang wanita yang kuat dan saya sangat kagum kepada ibu saya.”