Dari dulu manusia sering melabelkan pangkat, keturunan dan kekayaan seseorang itu melalui cara pemakaian dan harga label pakaian yang dipakai.
Raja di zaman dahulu menjadikan songket dan sutera sebagai fabrik utama dalam pemakaian harian bagi membezakan darjat mereka dengan rakyat biasa. Dilarang sama sekali rakyat biasa bermegah-megah dengan fabrik mahal itu, malah rona kuning keemasan juga menjadi kesalahan buat rakyat biasa menggayakannya.
Orang kebanyakan hanya menggunakan kain belacu. Kain ini lumrahnya tidak selesa dibuat baju kerana teksturnya yang kasar dan tebal. Rupa luaran adalah pemangkin pangkat dan rasa hormat kepada seseorang individu.
Namun, itu dahulu. Zaman sekarang tidak ada lagi perbezaan kasta dengan hanya melihat rupa luaran. Memang benar hanya orang kaya yang mampu menggayakan Chanel, Ferragamo malahan Hermes. Tetapi orang kaya sekarang tidak dilabel melalui penampilan mereka sahaja. Ada juga orang kaya yang tidak betah menunjukkan kekayaan mereka hanya melalui jenama pakaian yang dipakai.
Bekerja sebagai pelayan butik di salah sebuah butik jenama terkenal dunia membolehkan aku melihat pelbagai realiti hidup di kota Kuala Lumpur. Pelbagai jenis dan ragam manusia yang singgah di dalam butik lima bintang ini membuatkan aku lebih membuka mata dan minda serta menjadi pedoman dalam hidup.
Petang itu, aku ditugaskan bersama dua lagi pelayan butik untuk melayan pelanggan dengan penuh hemah dan hormat. Biasalah prinsip jenama berpengaruh ini, pelanggan adalah keutamaan kami. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh, walaupun kita tahu bagaimana sikap sesetengah orang kaya yang memandang kami hanya sebelah mata.
Sedang leka aku menyusun baju yang setiap satunya berharga ribuan ringgit, melangkah masuk seorang gadis muda sambil memaut mesra seorang lelaki tua yang botak kepalanya. Tergedik-gedik kerenah si gadis muda yang aku kira usianya sebaya denganku. Dia menarik perlahan tangan lelaki yang berusia dalam 60-an itu sambil merengek manja menunjuk ke arah barisan beg tangan kulit yang begitu cantik buatannya.
Meluat aku melihat kerenah si gadis dan sikap miang lelaki tua yang aku kenali sebagai Tuan Sabri. Lelaki ini pernah datang ke butik bersama isterinya beberapa bulan yang lepas. Apa yang pasti, isterinya itu bukanlah secantik dan menarik seperti gadis muda yang datang bersamanya hari ini.
Begitu kemas di dalam ingatan betapa cerewetnya wanita berbadan besar dan berselendang Kate Spade itu memilih beg tangan idaman. Layanan Tuan Sabri juga acuh tak acuh apabila isterinya meminta pendapat. Sempat dia berpesan agar isterinya tidak memilih barangan yang terlalu mahal harganya. “Bajet tak ada,” kata Tuan Sabri.
Aku membantu si gadis muda ketika di bilik persalinan. Becok mulutnya memberi komen mengenai jahitan baju yang tidak kemas dan membandingkan dengan jenama lain yang dipakainya.
“I memang tak boleh pakai baju yang jenama biasa-biasa tu. Gatal kulit. Maybe dia guna jenis kain yang tak elok, kan? I love Chanel! Selesa sangat bila dapat outerwear berbulu tu,” petah si gadis muda bernama Maria itu berbicara.
Aku hanya tersenyum dan mengangguk perlahan. Sedang aku membantu mengemas baju-baju yang dicubanya, aku terlihat pakaian yang dipakai ketika masuk ke butik ini tadi. Aku jeling tag dan tersenyum sinis. Jenama tempatan dan murah.
Inilah contoh manusia yang tidak ukur baju di badan sendiri. Sudahlah menumpang kekayaan orang lain, boleh pula berlagak hebat menyatakan diri tidak boleh memakai jenama murah.
Maria mengambil beberapa pakaian dan juga beg tangan. Tersenyum lebar Tuan Sabri ketika dikucup perlahan Maria di pipi bagi menyatakan rasa terima kasih kerana membelikannya pakaian baru. Isteri sendiri ada had ketika membeli belah, perempuan simpanan pula dimanja-manjakan.
Itu perihal wanita yang bergaya cantik dan mewah menggunakan duit orang lain untuk dia nampak gah di kalangan masyarakat. Lain pula cerita mengenai sepasang suami isteri yang masuk ke butik semalam. Mereka berdua hanya berpakaian biasa.
Lelaki berusia pertengahan usia 40-an menemani isterinya yang bertudung litup dan berpakaian serba sederhana melihat pelbagai barang sekeliling. Rakan sekerjaku yang lain hanya memandang sebelah mata, beranggapan mereka berdua ini seperti pelanggan lain yang hanya ingin melihat tanpa ingin membeli.
“Malaslah aku. Kaulah pergi layan. Bukan dapat tip pun nanti.” Farah, salah seorang rakan sekerja bersuara perlahan. Kalau dilihatkan kepada apa yang dipakai, kedua suami isteri itu kelihatan agak ‘kekok’ jika dibandingkan dengan jenama butik ini. Mereka juga bukanlah pasangan bergaya seperti David dan Victoria Beckham, lalu menimbul ragu apabila mereka melangkah ke sini.
“Ada sesiapa boleh bantu kami ke?” Soal si suami agak kuat apabila sudah setengah jam di situ dan tiada pelayan yang menghampiri untuk membantu.
Mungkin berang kerana sikap acuh tidak acuh kami, mereka berdua beredar. Sewaktu mereka ingin melangkah keluar, kelihatan seorang anak gadis dan remaja lelaki dipercayai anak mereka menghampiri. Di tangan mereka penuh membimbit beg kertas besar pelbagai jenama mewah.
Michael Kors, Balenciaga, Bottega Venetta dan juga Marc Jacobs. Anak gadis itu pula tampak hebat dalam sepatu Giuseppe Zanotti. Ah, baru aku perasan selendang yang dipakai si isteri adalah jenama Givenchy! Benar aku menyesali diri kerana melabel taraf manusia menerusi penampilan jenama yang dipakai. Manusia jenis apakah aku sehingga menidakkan hak manusia untuk dilayan sama rata?
Aku pulang dari kerja pada malam itu dengan rasa sesal yang tidak berkesudahan. Seperti biasa, sesi makan di warung menjadi aktiviti tetap untuk menikmati makan lewat malam. Makan lewat malam kami ini turut disertai seorang rakan Farah, Siti. Cantik orangnya dan bekerja sebagai pegawai pemasaran di salah sebuah syarikat Kuala Lumpur. Aku menegur beg tangan Charles & Keith nya yang cantik walaupun pada harga yang mampu milik.
“Terima kasih. Tak apa lah pakai beg tangan jenama biasa, daripada pakai baju jenama mewah tapi dalam poket tak ada duit. Kalau perempuan bolehlah juga menumpang duit kekasih, kalau lelaki?” Ada semacam baran dalam suaranya.
Tanpa diminta, Siti bercerita mengenai bekas kekasihnya yang dikenali menerusi kenalan kerja, Anuar. Lelaki kacak ini sememangnya terkenal dengan kemewahan label pakaian yang di gayakan. Daripada sekecil pin tali leher berjenama Louis Vuitton sehinggalah barisan kasut Paul Smith dan Kenzo.
Kekasih metroseksualnya ini digilai rakan sekerja, namun Siti yang dipilih bagi menjadi kekasih hati. Kembang kempis bangga apabila Siti berjalan mesra di sisi Anuar. Sememangnya Anuar sanggup berhabis wang demi barangan berjenama. Mula-mula, perkara itu dibiarkan sahaja kerana biarlah dia membelanjakan wang hasil titik peluhnya. Namun, lama kelamaan ia menjadi hal yang begitu menjengkelkan.
Sering Anuar meminta untuk Siti membayar perbelanjaan mereka ketika keluar bertemu janji. Apabila ditanya mengenai perbelanjaan harian, dia mengatakan wang habis dibelanjakan untuk membayar bil dan sebagainya. Tetapi yang menghairankan, koleksi kasut mewahnya semakin bertambah dari hari ke hari.
Ada juga ketika Anuar meminjam wang Siti untuk membeli barangan dapur di rumah. Malunya hakikat ini. Baju berkilauan jenama mewah, namun poket kosong tidak berwang. Apabila dilihat penyata kewangan Anuar, urut dada Siti melihatnya. Tiada simpanan dan bebanan hutang kad kredit yang melambung tinggi.
Sebelum dia menjadi mangsa, baik Siti angkat kaki meninggalkan lelaki yang hanya mementingkan rupa luaran itu. Bagaimana dia ingin membina kehidupan bersama lelaki yang asyik mementingkan duniawi dan tidak fokus mengenai tanggungjawab lain?
Ah, begitu berat perihal rupa luaran ini. Aku lihat sekeliling. Ada yang membimbit beg tangan Gucci, ada yang hanya bersepatu Padini. Ku bisikkan dalam hati, jangan sesekali menilai rupa paras dan gaya seseorang itu menerusi jenama yang dipakainya. Mungkin mereka yang hanya berselipar Asadi itu mempunyai kereta Ferrari! Siapa tahu?