Merangsang dan membangkitkan ghairah pasangan tidak semestinya berlangsung di kamar tidur sahaja atau dilakukan beberapa minit sebelum hubungan seks berlangsung.
Sebenarnya, setiap pasangan perlu kreatif dan punya taktik tersendiri untuk meningkatkan tarikan pasangan. Kali ini EH! kongsi tujuh idea aktiviti ‘seksi’ untuk anda dan pasangan.
Beli-belah
Lelaki sebenarnya suka membeli-belah. Cuma yang mereka kurang senang ialah menunggu lama. Jadi, apa kata anda bawa pasangan anda membeli-belah bersama. Untuk mencipta suasana seksi, apa kata anda berikan dia peluang untuk memilih sendiri lingerie untuk
anda. Begitu juga sebaliknya, apa kata anda pilihkan pakaian dalam atau boxer untuknya pula.
Masak Bersama
Memasak bersama pasangan juga bisa jadi aktiviti yang menyeronokkan, dan mungkin juga seksi. Ia merapatkan hubungan suami isteri, dan anda sendiri tidak perlu bimbang soal rasa kerana masakan suami akan merungut kerana dia turut serta menyediakannya. Mahu idea seksi? Apa kata pinta suami anda gayakan apron dan celana pendek sahaja, tanpa kemeja-T.
Bersenam
Ada wanita berasa teruja pabila melihat lelaki dibasahi keringat. Pada mata mereka lelaki sungguh seksi dalam keadaan begitu. Malah ada yang bisa ghairah dengan bau peluh itu. Jadi, apa kata anda ajak suami berjoging pada waktu lapang. Selain meningkatkan kesihatan serta merapatkan hubungan, ia juga bisa meningkatkan tarikannya pada anda. Tidak percaya? Cubalah!
Menonton DVD
Luangkan masa menonton filem bersama. Lebih elok jika anda memilih kisah cinta atau romantis (bukan porno). Bait-bait skrip dan mainan lagu latar filem yang ditonton mungkin akan menaikkan mood untuk anda bersama. Mahu jadikan hubungan seks lebih menarik? Anda berdua mungkin boleh menjiwai watak aktor yang anda baru tonton tadi.
Menari
Pernah menonton filem Dirty Dancing? Oh, gerak tari di dalam filem tersebut benar-benar seksi. Anda juga bisa menari seperti Patrick Swayze dan pasangannya, Jennifer Grey. Apa sahaja jenis tarian pilihan anda, tidak menjadi soal. Asalkan anda berdua seronok melakukan gerak tari menurut muzik yang dimainkan. Ayuh, tunjukkan bakat anda!
Cuci Kereta
Di petang minggu, anda dan pasangan boleh luangkan masa bersama mencuci kereta. Aktiviti yang jarang dilakukan bersama boleh jadi aktiviti paling menyeronokkan. Pabila tubuh terkena percikan air, ia bisa menterjemahkan penampilan seksi. Imaginasi ‘nakal’ bisa disuntik kala melihat pasangan dalam keadaan begitu.
Makan Malam
Biasanya anda dan pasangan akan meluangkan masa menikmati makan malam di restoran istimewa pada hari istimewa sahaja seperti hari ulang tahun kelahiran, Hari Kekasih mahupun ulang tahun perkahwinan. Sesekali tiada salahnya jika anda pergi menikmati makan malam di luar, di restoran mewah. Suasananya bisa membangkitkan keinginan bersama. Bual bicara sementara menunggu hidangan tiba juga menjadi ‘kunci’ pembuka hubungan di bilik tidur nanti. Anda hanya perlu bijak memilih topik yang ‘seksi’ untuk dibincangkan.