Menurut Dale Carnegie, penulis ‘How to Win Friends and Influence People’, 85% kejayaan di tempat kerja adalah disebabkan keupayaan berkomunikasi dan hanya 15% sahaja melibatkan pengetahuan teknikal.
Oleh sebab itu, kemahiran komunikasi amat penting dalam meningkatkan mutu dan kualiti diri. Tujuh cara dikenal pasti dapat membantu anda lebih berjaya mendalami ilmu komunikasi ini.
1. Penuh Yakin Kala Berdepan Situasi Sukar
Sayangi diri melambangkan anda memahami kebolehan diri dan berani mengharungi segala cabaran kehidupan. Dengan adanya nilai dan harga diri, anda akan mendapat tindak balas positif kerana sentiasa berupaya menangani kesulitan dan akhirnya dapat meyakinkan
mereka bahawa anda ada ‘sesuatu’ yang berharga.
2. Tunjuk Minat Mendalam
Manusia biasanya berdepan dengan dua ‘stesen’ utama. Pertamanya, ‘apa yang ada pada saya’ dan keduanya, ‘apa yang ada pada dia’. Bercakap perihal diri sendiri mengundang rasa bosan, justeru ramai cuba mengalihkan tumpuan kepada perkara lain. Berhenti! Alihkan kembali minat mereka terhadapmu, tetapi dengan topik perbualan yang memberikan tumpuan kepada mereka. Memandangkan kamu telah berikan apa yang mereka mahu, inilah masanya kamu bercerita pula.
3. Dengar dengan Teliti, Usah Banyak Cakap
Ada sebabnya manusia dianugerahkan dua telinga dan satu mulut. Gunakanlah sebaiknya. Bertanya soalan susulan menunjukkan bahawa anda sedang mendengar dan memberi tumpuan sepenuhnya. Komunikasi menjadi lebih baik jika masing-masing berkongsi minat dan berasa selesa.
4. Pelbagaikan Diri Anda Mengikut Keadaan Semasa
Banyakkan membaca, pelajari ilmu baru. Sentiasa peka dengan informasi dan trend semasa. Ini dapat membuka ruang kamu mengenali lebih banyak orang dan sekali gus peluang mengembangkan karier lebih terjamin. Faktor ini boleh mempengaruhi status kamu, lantas dianggap bijak dan sering menjadi pilihan semua.
5. Kamu Tidak Lapuk Dek Zaman
Jika kamu disamakan dengan nilai cek berharga ribuan ringgit. Buatlah apa jua, digumpalkan, dibuang sekalipun ia tetap bernilai ribuan ringgit. Begitulah pandangan mereka terhadap kamu kerana nilai kamu tidak terukur. Tiada yang akan menolak dan mengubah nilai kamu. Ambil risiko, minta apa yang kamu mahukan dan nyata kamu peroleh semua yang dihajati kesan dari keyakinan kala berkomunikasi.
6. Ikuti Tangga Kejayaan Seseorang
Dalam usaha menjadi yang terbaik, kamu perlu berdepan dengan pelbagai dugaan. Kadangkala ia tidak menjamin kejayaan namun kamu mendapat pengajaran darinya. Kamu perlu memikat rakan sekerja, pengurus, pegawai eksekutif dengan penggunaan ayat yang memberangsangkan.
7. Buka Hati Pihak Lawan
Tanya sebanyak mana soalan yang kamu rasa tidak membosankan. Beri peluang si dia bercakap lebih banyak daripada kamu. Ajukan pertanyaan yang bakal membuat si dia berfikir dan memberi jawapan kepada setiap soalan kamu, pasti perbualan kamu menjadi lebih menarik. Buka sedikit cerita tentang diri kamu kepadanya supaya keadaan tegang tidak terjadi dan si dia berasa selesa di sepanjang perbualan.