Perhubungan yang diimpikan berakhir dengan ikatan perkahwinan kini putus di tengah jalan. Bagi membantu anda menjalinkan hubungan bahagia bersama si dia, EH! bentangkan tujuh kesilapan yang harus dijauhi.
1. Lupakan Si Dia Yang Sudah Menjadi ‘Bekas’
Selagi anda tidak dapat melupakan bekas kekasih selagi itulah anda tidak boleh memulakan perhubungan baru. Banyak masalah akan timbul sekiranya anda terjebak dalam perhubungan baru. Ingatan anda yang masih kuat pada bekas kekasih menyebabkan anda membandingkan si dia dengan bekas kekasih. Tindakan ini boleh membuat si dia terluka dan menjejaskan perhubungan yang baru dibina.
2. Terlalu Cemburu
Apabila terbit perasaan sayang maka perasaan cemburu juga timbul apatah lagi bila melihat lelaki yang anda puja bersama dengan wanita lain. Selidik dulu siapakah wanita itu? Cemburu yang membabi buta boleh merosakkan perhubungan. Cemburu itu sememangnya tidak salah tapi biarlah kena pada tempat dan keadaannya. Jalan terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersikap terbuka dan jujur dalam perhubungan agar tidak timbul sebarang syak wasangka.
3. Terlalu Awal Mencurahkan Cinta
Perhubungan baru memerlukan masa untuk bercambah dengan mekar. Namun salah satu kesilapan anda ialah terlalu awal mencurahkan perasaan cinta pada si dia. Cinta adalah satu komitmen. Justeru sebelum kedua-dua hati mengikat komitmen dengan cinta, adalah lebih baik mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bersama.
4. Menipu… Racun Dalam Perhubungan
Kata-kata manis ibarat madu namun bertukar menjadi pahit, berselindung di sebalik penipuan yang menjadi racun dalam perhubungan. Perhubungan yang jujur dan ikhlas tidak sepatutnya dicemari dengan penipuan. Jika tiada lagi perasaan sayang atau sudah mempunyai teman lain maka penyelesaian yang terbaik ialah berterus-terang. Jangan bertangguh kerana ini akan mendorong kepada penipuan yang berterusan.
5. Cuba Mengubah
Si Dia Apabila anda diterima sebagai kekasih atau suri hidupnya, itu tidak bermakna yang anda juga boleh mengubah si dia. Tindakan anda yang cuba mengubah si dia dianggap menjengkelkan dan manipulatif. Malah ia juga mendorong kepada kekecewaan. Justeru, elak daripada menjadi queen control kerana ia boleh merosakkan perhubungan sebaliknya hargailah nilai kebebasan. Terimalah dia sebagaimana dia menerima anda seadanya.
6. Lemah Berkomunikasi
Kelemahan berkomunikasi merupakan isu yang kerap berlaku dalam kehancuran perhubungan. Fenomena ini terjadi disebabkan minat dan kepentingan berbeza. Hindarkan kewujudan sempadan ataupun rintangan dalam perhubungan. Komunikasi mengeratkan perhubungan antara anda dan si dia. Berkongsilah pengalaman, idea dan apa jua penceritaan yang boleh menarik minat kedua-dua
belah pihak.
7. Meletakkan Semua Kesalahan Pada Si Dia
Pernahkah anda berada di dalam situasi yang mana semua kesalahan dicampakkan kepada anda? Bagaimana sakitnya hati diperlekehkan begitu jugalah perasaan yang dialami si dia apabila diletakkan semua kesalahan di bahunya. Anda langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Tekanan yang anda berikan pada si dia mengundang keburukan yang akhirnya membawa kepada keretakan dalam perhubungan.