Lebih kurang sebulan lalu, nama seorang warga asing bernama Rhys William menjadi sebutan dek kerana video pengalamannya makan nasi lemak di Kampung Baru menjadi tular. Namun bukan hanya kerana food review Rhys itu, tetapi kerana kepetahannya bercakap dalam bahasa Melayu yang membuat jejaka berusia 25 tahun ini popular sekelip mata.
Siapa Rhys William? Apa yang istimewa sangat video dia makan nasi lemak? Dia memang chef ke?
Itulah antara soalan kala diajukan nama Rhys. Teruja untuk mengenalinya dengan lebih lanjut, EH! bertemu dengannya di syurga makanan Malaysia, Pulau Pinang. Rhys tiba larut malam dalam pertemuan singkat untuk berikan kunci bilik AirBnB tajaan Hommie 1934 di pinggir Georgetown. Kami berjanji untuk bertemu semula waktu sarapan keesokannya sebelum Rhys ke acara Penang Halal Expo atas jemputan penganjurnya.
Pagi itu kami memberikan lokasi untuk berjumpa di Kompleks Lebuh Nipah, Bukit Jambul. Tempat warga tempatan bersarapan yang menyajikan pelbagai menu dalam persekitaran yang damai dan cukup mesra. Rhys tiba pada waktu yang dijanjikan dan tidak kekok untuk memesan pulut inti dan apam lenggang untuk dicuba.
Minuman sarapan Rhys kopi ais yang memang enak bersama apam lenggang yang pertama kali dicubanya. “Saya tak biasa makan berat untuk sarapan,” apabila kami mencadangkan kuetiau goreng atau lontong untuk dipesan. “Pelik sedikit nak makan yang goreng-goreng untuk sarapan. Selalunya saya makan macam tu untuk makan tengah hari atau makan malam je,” jelasnya.
Itulah dia bila Mat Saleh yang berasal dari Redhill, United Kingdom ini bertutur sebaik-baiknya dalam bahasa ibunda kita. Malah sejak berkomunikasi melalui Whatsapp lagi, Rhys lebih selesa menggunakan BM walaupun diajukan soalan dalam Bahasa Inggeris.
Sebelum bersembang panjang, Rhys penuh minat mencuba Nasi Lemuni. Nasi herba yang dimasak dengan daun lemuni ini asalnya hidangan untuk wanita berpantang selepas bersalin kerana punya kebaikan untuk kesihatan. Lauk wajib dihidang bersamanya adalah lauk sambal ikan masin talang.
Selepas merasa nasi lemuni, Rhys tidak melepaskan peluang untuk bertanya dengan pakcik yang berniaga hidangan popular ini dan tidak hairanlah mengapa dia dia begitu tekun ingin tahu tentang makanan Malaysia.
“Wah memang menarik saya dapat cuba nasi lemuni sebab susah nak dapat kat tempat lain dan ini memang menu istimewa orang Penang,” ujar Rhys yang kemudian mula bercerita mengenai pengalaman pertamanya mengenali Malaysia.
“Saya datang ke Malaysia bercuti lima tahun lalu. Saya di sini selama dua minggu, seminggu di Kuala Lumpur dan setengah minggu di Tioman dan setengah lagi di Taman Negara Pahang.”
“Bila balik UK asyik ingat Malaysia je. Asyik fikir boleh tak nak pindah dan mulakan kehidupan baru kat sini. Ada sesuatu yang buat saya nak balik sini. UK tak tolak saya tapi Malaysia yang tarik saya. Macam ada satu tarikan.”
Oleh sebab dia menjalankan bisnes sendiri, kemungkinan untuk pindah dan bekerja sebagai pereka laman web bebas bukan satu masalah. Namun, tidak dinafikan, dalam fikirannya sentiasa berlegar cara terbaik untuk “cari makan” dan cari duit untuk hidup sekiranya berpindah.
Setelah setahun mempertimbangkannya, Rhys tekad untuk kembali ke Malaysia dan berazam untuk memulakan kehidupan baru disini. Hasratnya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dikhabarkan kepada keluarga dan teman rapatnya.
“Bila bagitau kawan nak pindah, kawan tak faham, mereka tanya betul ke? Mereka rasa mungkin pergi sebulan dua bulan dan mesti tak tahan nanti saya akan balik. Family pun bagi reaksi sama, dan sangka mungkin enam bulan saya dah balik. Lepas satu tahun sini baru mereka faham saya memang serius. Mereka tak faham kenapa saya pilih Malaysia,” sambungnya.
Kini sudah empat tahun Rhys menjadikan Malaysia sebagai rumahnya. Namun hanya dua tahun yang lalu dia mula berbahasa Melayu dan bergaul rapat dengan teman baru di sini.
“Masa pindah sini, saya tak kenal sesiapa pun. Kemudian saya mula mengembara serata Malaysia untuk kenali lebih dekat pelbagai budaya tempatan dan cuba macam-macam makanan di setiap negeri.”
“Minat mengembara saya membolehkan saya berkenalan dengan geng rekreasi. Saya mula sertai mereka mendaki gunung dan berkhemah di lokasi menarik serata Malaysia. Dari situ saya mula selesa untuk bercakap dan gaya yang lebih santai,” tambah Rhys yang sudah naik turun beberapa gunung di Semenanjung termasuk Gunung Tahan, Gunung Korbu dan terbaru Gunung Stong di Kelantan.
Malah, Rhys juga terlibat sama dalam pasukan Search And Rescue (SAR) pemuda yang hilang di Bukit Broga awal tahun ini. Rhys berazam untuk meneruskan lagi kembaranya ke seluruh pelusuk Malaysia yang dirasakannya masih banyak keistimewaan yang belum diterokai.
Bakal bekerjasama lagi dengan Destinasi TV yang mengeluarkan video pertamanya makan nasi lemak di Kampung Baru itu, Rhys gembira hobi ‘makan’nya dapat dimanfaatkan dengan lebih baik dan kebolehannya bertutur dalam Bahasa Melayu sangat membantu dalam memahami dengan lebih jelas mengenai sesuatu hidangan.
“Jika saya bertanya dalam bahasa Inggeris mungkin jawapan yang saya dapat hanyalah yang asas. Tetapi bila saya bertanya dalam bahasa Melayu, saya akan dapat lebih banyak maklumat dan lebih jelas mengenai makanan atau latar belakang sesuatu,” jelasnya yang jatuh cinta suapan pertama dengan nasi lemak ketika kunjungan sulung ke sini.
“Saya amat kagum dengan rasa nasi lemak yang kelihatan serupa macam nasi putih tetapi padat dengan rasa. Di UK, nasi tak rasa sedap macam tu. Itulah hidangan pertama yang memberi impak besar dalam cinta saya terhadap masakan Malaysia,” terangnya.
Namun bila diaju soalan sekiranya dia ada ‘seseorang’ yang istimewa yang membuatnya lebih sayang pada Malaysia, Rhys dengan selamba memilih jawapan bak seorang selebriti, “No komen!”
Ikuti video eksklusif EH! Bersama Rhys ini…