Sajian tradisi Negeri Sembilan, Perancis dan ilham air tangan fusion Asia menjadi pelengkap buku masakan garapan juara Masterchef Selebriti Malaysia ini.
Menghimpunkan 35 buah resepi yang terdiri dari sajian autentik berakar umbi dari desa tercintanya di Rembau, Negeri Sembilan, manisan serta pastri klasik Perancis dan sajian kulinari berciri khas fusion Asia yang terdapat di SukaSucre Bistro, tiga teras selera utama ini disatukan dalam sebuah naskhah dwibahasa; My Sucre Story garapan sulung oleh Datuk Fazley Yaakob sebagai buah tangan untuk anda yang mencintai dunia masakan.
Menariknya, buku ini terlebih dahulu dilancarkan di Paris pada Oktober 2015. Dan diikuti di Singapura pada Mac 2016. Buku ini juga diumumkan sebagai juara bagi kategori Buku Resipi Terbaik Dari Personaliti TV Luar Eropah bersempena Pertandingan Buku Resepi Antarabangsa yang diadakan di China pada 29 Mei 2016.
Antara sajian yang terkandung di dalam buku ilham juara MasterChef Selebriti Malaysia ini antaranya ialah Daging Masak Lemak Cili Api, Ayam Pop Salai Dengan Sambal Hijau, Rendang Campur Negeri Sembilan, Donut Bersama Sos Santan Karamel, Beef Wellington Lemak Cili Api Bersama Kolak Campuran Buah Beri, PavlovaPisang Bersama Pisang Goreng, Macaron Bertih Jagung Karamel Masin, Brioche Berperisa Limau Yuzu, Biskut Cawan dan Puteri Mandi.
Datuk Fazley pernah menyambung pengajian dalam kulinari Perancis mengkhususkan manisan dan pastri di Le Cordon Bleu, Paris pada tahun 2013. Dan dia juga menyambung pengajian dalam kursus Masters in Sugarcraf, United Kingdom pada tahun 2014 dan Diploma in Taste, Gastronomy, and Arts of The Table (University of Reims, Champagne-Ardenne, Perancis/2015).
Menurutnya lagi, My Sucre Story merupakan himpunan cerita perjalanan beliau seawal usia lima tahun ketika membantu nenda (gelaran kepada neneknya) di kampung sehinggalah membesar apabila kerap menolong ibunya di dapur, dan hari ini dia sendiri sudah mendirikan rumahtangga dengan seorang isteri yang sememangnya rajin memasak.
“Selepas menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia dan kemudian mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Paris sehingga menjadi pelajar terbaik lalu kembali ke tanah air membuka SukaSucre Bistro, saya menggabungkan setiap cerita manis ini ke dalam sebuah buku resepi. Ia ibarat terjemahan dan definisi rasa cinta dalam dunia masakan supaya pembaca faham tujuan saya menjalinkan resipi masakan daripada nenda, ibu, isteri, Paris dan Bistro,” katanya.
My Sucre Story boleh didapati di seluruh cawangan MPH Bookstore di Malaysia dengan harga RM39.90. Atau membeli secara atas talian dengan tawaran diskaun sebanyak 15 peratus (RM33.92).
Dan Datuk Fazley juga bakal hadir dengan single terbaharu, Ketiadaan ciptaan oleh Azlan Abu Hassan dan lirik hasil nukilannya sendiri.