Tidak mahu berselindung lagi, Sara Ali akhirnya mengaku yang dirinya sudah kembali dengan imej asal.
Selepas 10 bulan mengenakan hijab, Sara mengambil keputusan untuk tidak lagi mengenakannya kerana tidak mahu menjadi seorang hipokrit apatah lagi dalam bab agama.
“Saya tidak mahu jadi hipokrit, lebih-lebih lagi jika hal yang berkaitan agama. Saya akui, ini salah saya,” kata Sara kepada Astro Gempak.
Tambahnya lagi, penampilannya yang kini tidak lagi bertudung adalah sejak Oktober tahun lalu. Dia akui yang keputusan mengenakan hijab sebelum ini adalah gara-gara terikut-ikut dengan sebuah perniagaan yang melibatkan dirinya.
Namun, katanya keputusan mengenakan hijab itu bukanlah atas keputusan dirinya sendiri.
“Pada awalnya, keputusan saya mengenakan hijab tahun lalu tidak didorong oleh keputusan sendiri. Saya terikut-ikut dengan sebuah perniagaan yang bersifat keagamaan. Namun begitu, saya mengaku yang perubahan tersebut merupakan keputusan saya. Saya sendiri yang buat kesilapan, saya sendiri yang tak berfikir panjang sebelum mengenakan hijab. Selepas 10 bulan, saya rasakan yang keputusan saya buat tidak betul. Saya kembali membuka hijab pada Oktober tahun lalu,” jelasnya.
Biarpun berani membuat kenyataan tersebut, Sara mahu orang ramai menyalahkan dirinya atas perkara tersebut dan tidak sekali menuding jari pada kedua-dua ibu bapanya.
Tindakannya itu sememangnya mampu menjatuhkan reputasinya di dalam industri hiburan tanah air, tetapi Sara terima segala kritikan dan pandangan orang ramai yang dilontarkan kepadanya menerusi ruangan komen Instagramnya kerana dia tahu yang segalanya adalah salah dan silap yang dia lakukan.
Bukan itu sahaja, Sara turut menafikan yang keputusan membuka tudung adalah kerana dia mahu berlakon semula. Baginya, pabila tiba waktunya nanti, dia pasti akan bertudung dengan sepenuhnya dan mahukan perubahan itu hadir dengan ikhlas dan tidak kerana terdorong akan kata-kata orang lain.
Sumber : Astro Gempak