Semua perkara, jika dibuat terlalu hebat dan melampaui batas, ia mendatangkan masalah dalam apa yang dilakukan. Semakin dunia melangkah ke dunia moden, semakin wanita mahupun lelaki berlumba-lumba untuk tampak cantik secara luaran.
Perut lapar tidak mengapa asalkan baju mahal berjenama. Badan pula perlu cantik dan wangi seperti supermodel antarabangsa. Itu secara luaran. Bagaimana pula dengan dalaman? Ah, manusia sekarang memandang yang cantik untuk dinilai menjadi popular. Sifat baik hanya memakan diri lalu dipergunakan. Wanita yang cantik dan bertubuh seksi itulah yang dipandang mulia, justeru ramai yang ingin menyeksa diri menjadi ‘jerangkung’.
Sebagai pelakon yang baru ingin mencipta nama dalam industri seni tanah air, Sally terjun ke bidang ini dengan penuh harapan ingin mengecap kekayaan dan hidup dalam glamor. Dia bosan hidup dalam jerih payah yang entah bila akan habis. Benci duduk di kampung dek rutin setiap hari yang terpaksa memberi ayam makan dan membantu emak memasak di dapur.
Lalu, dia nekad untuk berbuat sesuatu agar lebih berharga hidup dia dan keluarga. Dia mahu ke lubuk emas, Kuala Lumpur. Ketika kaki melangkah keluar dari teratak, emaknya melarang keras kerana khuatirkan nasib dia di sana. Setiap hari dia meyakinkan emak bahawa dia akan mengubah nasib keluarga dengan menjadi pelakon terkenal. Emak hanya menurut, namun hati tetap hiba.
Tidak dinafikan Sally cantik. Berkulit putih mulus dengan alis mata terletak serta hidung mancung, dia digilai jejaka kampung. Dia adalah dara tercantik yang disebut-sebut sebagai calon menantu. Malah, ketika kali pertama dibawa ke set penggambaran oleh rakannya, Tim, ramai mata memandang kagum. Tim yang sudah lima tahun bekerja sebagai jurusolek untuk salah satu syarikat produksi tempatan membantu dia untuk mencuba nasib sebagai pelakon tambahan.
Bermulalah episod baru dalam hidup gadis muda ini. Satu persatu drama tempatan ada tempelen muka Sally. Namun setelah berbelas drama dibintangi sebagai pelakon tambahan, dia tetap berada pada tahap itu sahaja. Dia mula gusar, bilakah orang kuat syarikat produksi dapat melihat bakatnya? Kalau berlakon hanya memegang watak penjual nasi lemak atau orang gaji, sudah tentu dia tidak boleh popular. Dia mempersoalkan perkara ini kepada Tim, mungkin kawannya dapat membantu.
“Salmah, cuba kau lihat diri kau. Apa yang kurang?” Tim bersuara lembut sambil tersenyum manis.
Sally mencebik. Meluat dia bila orang memanggil nama sebenarnya. Kadang-kadang, ada rasa marah pada ibunya kerana memberi nama yang tidak komersial langsung. Perlahan dia berjalan ke arah cermin besar yang menampakkan keseluruhan bentuk tubuh badannya sehingga ke kaki. Ya, Sally mempunyai wajah yang cantik, namun bentuk badannya yang berisi dan berperut sedikit buncit menyekat kebebasan dia untuk bergaya. Seluar denim potongan lelaki serta kemeja-T longgar menjadi gaya hariannya. Rasa rendah diri juga menjadikan dia kurang yakin untuk berlakon dengan agresif serta berkenalan dengan orang sekeliling.
Menyedari hakikat wanita yang kurang cantik luarannya akan ketinggalan dalam dunia glamor ini, Sally nekad melakukan sesuatu agar bakatnya dipandang. Sally mahu kurus! Dia mula mengubah cara pemakanan dengan tidak langsung menyentuh nasi kerana bimbang kandungan karbohidrat yang akan terus menggemukkannya.
Setiap kali ke restoran, kecur liurnya melihat hidangan nasi bersama masak kuah lemak cili api. ‘Rindunya emak,’ keluh sedih hatinya. Sudah beberapa bulan dia tidak menjenguk emaknya yang keseorangan di kampung. Entah apa khabarnya. Tidak mengapalah, bulan depan masih ada. Emaknya pun tidak akan kemana-kemana.
Untuk mengurangkan berat badannya, bukan sahaja menu harian dikawal ketat, Sally turut bersenam setiap hari. Walaupun terseksa sakit daripada segi mental mahupun fizikal, dia tidak kisah. Dia tidak mahu kurus tetapi kulit menggeleber. Dia mahu bentuk badan bagai selebriti terkenal. Cantik, anjal serta kulit glowing sentiasa. Sally mengikat perut untuk membeli makanan tambahan agar dia mendapat vitamin yang bagus untuk kulit serta kesihatannya.
Susah payahnya terbukti berkesan. Perlahan-lahan, lemak di bahagian perutnya susut dan kempis. Berat badannya berkurangan sehari demi sehari. Kini, pelbagai pakaian dapat dia gayakan. Makin kecil badannya, makin sendat pakaian yang dipilih. Dan apa yang paling penting apabila ada syarikat produksi yang mula berminat untuk mengambil dia sebagai watak pembantu! Bahagianya dia rasa.
Baru kini dia mengerti betapa pentingnya menjaga bentuk tubuh badan. Seminggu selepas drama yang dilakonkan ke udara di televisyen, dia mendapat panggilan untuk melakukan penggambaran fotografi bersama sebuah majalah. Seronoknya hati bukan kepalang. Semakin hari, semakin banyak publisiti yang dia dapat. Namun, ada antara cerita publisiti yang keluar itu adalah mengenai bentuk tubuh badannya yang berisi.
Di usia 24 tahun, berat badannya mencecah 53kg pada ketinggian 168 sentimeter. Tertekan dia apabila ada mulut-mulut jahat yang mengatakan wajahnya tidak komersial dengan tubuh badan yang begitu. Walhal, ramai yang mencemburui bentuk tubuh dia yang cukup sifat dengan pinggang ramping dan payudara montok.
Hati yang gusar ditenangkan dengan mengambil ubat kurus. Ubat kurus yang didapati daripada pengedar di Kuala Langat itu dijual dengan harga yang berpatutan dan berkesan hasilnya. Ada teman mencadangkan, kerana dengan hanya dalam tiga bulan sudah nampak perbezaan yang ketara. Cemburu juga dilihatnya teman itu daripada baju saiz XL, kini sudah muat menggayakan kebaya pendek saiz S. Hati kemaruk ingin mencuba tanpa membuat kajian atau mengambil tahu mengenai produk itu. Apa yang dia tahu, dia ingin kurus!
Selepas sebulan mengamalkan produk ‘underground’ itu, terdapat beberapa perubahan yang Sally tidak endah pada mulanya. Setiap pagi, beberapa jam setelah makan produk ini, Sally berasa denyutan jantungnya terlalu pantas sehingga tidak dapat dikawal. Bagai cacing kepanasan, dia tidak senang duduk dan rasa berdebar-debar. Tekaknya juga terasa sangat kering dan haus sehingga memaksa dia minum 6 jag air sehari!
Bukan itu sahaja, ia mengganggu emosi Sally sehingga menyukarkan dia untuk bekerja dengan baik. Dia jadi pemarah. Semua benda seakan tidak kena. Ada teman yang mula menjauh dengan sikapnya yang menjengkelkan. Ya, dia jadi kurus. Seakan supermodel yang berjalan megah di pentas peragaan dengan tubuh badan kurus melidi. Tetapi, kesan akibat produk itu benar mengubah dia secara total. Semakin hari, dia jadi makin kacau. Meracau tanpa sebab.
Hari demi hari berlalu dengan keadaan Sally yang semakin serius. Wajahnya semakin cengkung dan kulit kering mengubah wajah cantiknya menjadi ngeri. Tawaran berlakon juga semakin berkurangan dek komitmen dia yang semakin teruk. Sakit di bahagian kiri abdomen sentiasa menyusuk. Selalu saja dia lewat ke tempat penggambaran lalu menimbulkan rasa tidak senang warga produksi.
Beberapa bulan kemudian, heboh satu Malaysia bilamana produk yang diamalkan Sally dirampas secara besar-besaran di seluruh negara. Setiap kilang dan pejabat yang berkaitan produk itu habis disita. Produk yang tidak mempunyai kelulusan dari pusat kesihatan itu entah bagaimana berjaya lolos dalam pasaran. Bukan Sally seorang sahaja yang mengalami kesan negatif itu, bahkan ratusan wanita menderita perkara yang sama sehingga ada keluarga yang porak peranda dan pekerja yang hilang mata pencarian dek jiwa kacau yang mereka alami.
Terbongkar rahsia mengapa kesan negatif itu berlaku. Antara bahan yang terkandung di dalamnya adalah sibutramin, bahan kimia yang boleh mengakibatkan tidak siuman dan pelbagai sakit organ dalaman. Setelah berita ini hangat sehingga keluar di muka hadapan surat khabar, baru lah terdetak rasa risau dalam dirinya. Segera dia mendapatkan nasihat doktor. Tapi malangnya, dia didiagnosis penyakit buah pinggang rosak.
Apa yang dia tahu, setelah makan ubat itu dia sering ke tandas dan minum air dengan kuantiti yang luar biasa banyaknya. Kini, bukan badan sahaja yang kurus, malah dapat penyakit pula. Wajahnya yang makin cengkung merosakkan kecantikan yang dia ada. Rutin hariannya pula kini dipenuhi dengan temujanji doktor dan proses dialisis yang tiada noktahnya.
Dia pulang ke kampung dengan esak yang panjang. Emak sentiasa di sisi, menerima dia walau dalam apa keadaan pun. Kini, apa yang dia mahu adalah kembali menjadi sihat. Cukuplah dengan obsesi dia yang ingin kurus. Apalah ertinya jika badan kurus, namun menderita sakit dan hati sentiasa tidak senang. Perlahan-perlahan, Sally mula belajar bersyukur dengan apa yang dia ada kini. Dia mula menyedari kesihatan itu sesuatu yang perlu dijaga dengan baik dan jangan sesekali merosakkannya kerana ia tidak mungkin dapat dibeli dan ditukar ganti. Glamor boleh dicari, tetapi tidak kesihatan diri.