Dayang Nurfaizah terpilih untuk menyanyikan lagu tema Sukan SEA ke-29 serta Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung pada bulan Ogos nanti.
Menurut laporan Astro Gempak, Menteri Belia dan Sukan iaitu Khairy Jamaluddin mahukan lirik lagu tema tersebut disumbangkan oleh rakyat Malaysia. Tinggal 100 hari lagi menjelang temasya Sukan SEA 2017 dan disebabkan itu rakyat diajak untuk berkongsi idea dalam penghasilan lagu itu.
Datuk Ramli MS akan menggubah lagu temasya tersebut manakala Dayang yang pernah beberapa kali menerima anugerah sebelum ini diangkat sebagai penyanyi utama lagu tema itu nanti. Baru-baru ini ketika Anugerah Stail EH! 2017, Dayang turut dianugerahkan dengan trofi kategori Selebriti Pencapaian Terbaik selepas mendapat undian tertinggi.
Untuk penciptaan lagu tema Sukan SEA ini, rakyat disarankan untuk berkongsi lirik dengan hashtag #laguKL2017 tidak kira di dalam Twitter, Facebook mahupun Instagram.
“Saya dan Datuk Ramli sudah berbincang dan kita mahukan lirik disumbangkan rakyat. Saya harap rakyat Malaysia menghantar lirik melalui Twitter, Facebook dan Instagram masing-masing dengan meletakkan hashtag #laguKL2017 untuk Datuk Ramli gunakan ayat-ayat atau perkataan daripada rakyat bagi menggubah lagu tema KL 2017 kali ini,” kata Khairy Jamaluddin.
Baginya, penglibatan rakyat dalam pembikinan lagu itu dapat membangkitkan lagi aura kesukanan itu. Sukan SEA bakal berlangsung pada 19 sehingga 30 Ogos, manakala Sukan Para ASEAN pula pada 17 hingga 23 September 2017.