Impian yang dipendam oleh Alif Satar setahun yang lalu untuk membuka sebuah restoran akhirnya menjadi kenyataan selepas terlancarnya restoran miliknya yang dinamakan A’s Cafe.
Restoran yang menyajikan hidangan dari pelbagai negeri di Semenanjung itu terletak di Padang Kontena Yayasan Sabah. Ia sudah pun beroperasi sejak seminggu yang lalu.
“Kafe ini terletak di Padang Kontena Yayasan Sabah. Saya melihat lokasi ini sebagai lubuk emas untuk menawarkan pelbagai pilihan makanan memandangkan ia berada di tengah-tengah Kota Kinabalu,” ujar Alif kepada BH Online.
Alif juga sempat melangsungkan kenduri kesyukuran sempena pelancaran kafe tersebut yang dihadiri kira-kira 500 tetamu sehari selepas Anugerah Bintang Popular BH 3.0.
Atas bantuan rakan karibnya yang juga seorang pelakon iaitu Farish Aziz yang menetap di sana, ia memudahkan lagi pembukaan kafe milik pelakon popular ini. Bahkan, kedua ibu dan bapa Alif turut memberikan sokongan kepadanya serta sanggup menguruskan operasi restoran tersebut buat sementara waktu dan dalam masa yang sama Alif turut berulang alik dari Semenanjung dan Sabah mengikut kelapangan.
“Boleh dikatakan Sabah umpama rumah kedua saya. Bukan mudah mengendalikan perniagaan ini jika memikirkan soal logistik tetapi keputusan mengusahakan A’s Cafe didorong oleh tenaga pasukan sokongan di belakang saya yang mantap,” katanya.