Jika dulu Pippa Middleton turut mendapat perhatian ketika kakaknya Kate Middleton berkahwin dengan Putera William, ramai yang menjangka Kate pula yang bakal jadi tumpuan. Namun, dua figura comel telah menarik panahan lensa dengan gelagat Putera George dan adiknya Puteri Charlotte yang ditugaskan untuk menjadi pengiring pengantin yang juga ibu saudara mereka.
Perkahwinan berprofil tinggi dek kerana hubungan pengantin dengan keluarga diraja memang sudah dijangka dan boleh dikatakan ia adalah antara wedding of the year di Britain. Pippa yang menjadi tumpuan media selepas kakaknya bergelar Duchess of Cambridge turut menerima tempias setiap gerak gerinya menjadi habuan papparazi. Dan kini perkahwinannya dengan pakar kewangan James Matthews di gereja St.Marks, Englefield, Berkshire, United Kingdom pada Sabtu lalu menjadi berita hangat di hujung minggu.
Selain gaun pengantin, busana Kate dan barisan tetamu nampaknya media lebih gemar untuk melihat aksi si cilik George dan Charlotte yang pertama kali menjadi page boy dan bridesmaid buat ibu saudara mereka. Namun mujur Kate turut membantu tanpa mengira statusnya sebagai Duchess untuk menjaga kanak-kanak pengiring. Antara momen menarik adalah ketika Kate dengan tegas menyuruh anak-anaknya serta kanak-kanak pengiring lain untuk senyap kala memasuki gereja.
Juga ada momen epik, putera cilik berusia tiga tahun itu yang sudah tidak tahan dengan sesi yang lama mula mencebik dan menangis tetapi Kate telah membuat teguran tegas supaya anak sulungnya itu berkelakuan baik. Puteri Charlotte yang kini berusia dua tahun juga beberapa kali dilihat mula resah tetapi berjaya ditenangkan oleh ibunya, abangnya serta pengasuh.
Putera George dan Puteri Charlotte tampil bergaya dalam persalinan dari Pepa & Co, sebuah butik di London dan berasal dari Sepanyol. Manakala ibu mereka menyarung busana rekaan khas dari label Alexander McQueen dan pengantin anggun dalam busana oleh Giles Deacon.
Foto: TPG Images/Wenn.com/REX/Shutterstock