Meskipun sudah berpisah, Hrithik Roshan dan Sussanne Khan masih berhubung dengan baik demi masa depan yang cerah buat dua orang anak mereka.
Aktor terkenal Bollywood ini sangat menjaga hubungan baik dengan bekas isterinya. Hrithik dan Sussanne sering dilihat bersama meluangkan masa dengan dua orang anak lelaki mereka, Hrehaan dan Hridaan.
Menurut laporan dari Mumbai Mirror, Hrithik baru sahaja membeli sebuah kediaman di Juhu untuk Sussanne dan rumah itu hanya 15 minit dari kediaman Hrithik sendiri.
“Walaupun selepas bercerai, perkara utama yang Hrithik pentingkan adalah kehidupan bekas isterinya dan anak-anak. Rumah pangsapuri yang dibelinya untuk Sussanne terletak di bahagian atas Juhu, dan hanya 15 minit jaraknya dari kediaman dia sendiri. Ibu bapa Hrithik iaitu Rakesh dan Pinkie Roshan juga menetap berdekatan kawasan itu, sama juga dengan ibu bapa Sussanne iaitu Sanjay dan Zarine Khan,” kata sumber.
Bercakap tentang hubungan baiknya dengan Sussanne, Hrithik menjawab, ” Sussanne dan saya tidak mencuba untuk menjadi satu contoh. Tetapi inilah diri kami sebenarnya. Saya tidak rasa yang saya boleh ada segalanya tanpa rasa bahagia. Setiap perhubungan perlulah sihat, menguntungkan kedua-dua belah pihak dan mengembangkan hubungan kami berdua.”
Melihat pada gambar mereka yang masih kelihatan seakan intim bersama, banyak spekulasi yang menyatakan mereka bakal bersatu semula. Namun, Sussanne pernah memaklumkan di Twitter yang ia hanyalah khabar angin semata-mata.