Konsert Ariana Grande yang berlangsung pada 22 Mei lalu di Manchester Arena berakhir dengan letupan bom yang menyebabkan kematian dan kecederaan ramai.
Sudah pastinya ramai yang teruja menyaksikan konsert Ariana Grande Dangerous Woman European Tour dan dikatakan konsert jelajah bintang ternama ini ternyata full house dengan 21,000 penonton yang hadir dari serata Eropah dan negara lain.
Namun, konsert Ariana yang dinanti-nantikan ramai ini berakhir dengan tragis pabila berlakunya insiden letupan ketika konsert itu tamat. Walaubagaimanapun, Ariana dikatakan dalam keadaan selamat ketika kemalangan yang meragut nyawa itu berlaku. Ariana sempat menulis Tweet akan perasaannya berhubung perkara itu.
broken.
from the bottom of my heart, i am so so sorry. i don't have words.— Ariana Grande (@ArianaGrande) May 23, 2017
Berikut adalah sembilan kebenaran yang terungkai setakat ini berhubung kes letupan bom di konsert Ariana Grande.
1. Kerajaan United Kingdom telah menaikkan tahap ancaman pengganas dari teruk ke tahap ‘kritikal’. Perdana Menteri, Theresa May menyatakan, “Mungkin akan ada lagi serangan.”
2. Pihak polis bersenjata yang selalunya mengawal tempat seperti parlimen UK digantikan dengan pasukan tentera bersenjata dan berkemungkinan pasukan tentera turut akan mengawal di tempat-tempat yang mempunyai acara umum.
3. Kadar kematian ketika insiden letupan pada malam Isnin sehingga kini masih kekal pada 22 orang dan 119 orang cedera.
4. Majoriti kematian melibatkan kanak-kanak. Kanak-kanak yang paling muda meninggal berikutan insiden itu berusia lapan tahun yang bernama Saffie Rose Roussos.
5. Setakat ini, pihak polis mengesyaki pengebom berani mati tersebut adalah Salman Abedi, bekas pelajar di University of Salford yang berusia 22 tahun. Dia dipercayai dilahirkan di Manchester dan keluarganya berasal dari Libya.
6. Menurut laporan antarabangsa, kumpulan pengganas ISIS dipercayai sebagai dalang atas insiden letupan bom itu meskipun pihak berkuasa masih lagi ragu-ragu akan kesahihannya.
7. Beribu-ribu orang ramai yang berkabung telah berkumpul di pusat bandar Manchester untuk perhimpunan nyalaan lilin demi memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam insiden itu.
8. Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan kini menggesa “tahap waspada yang tinggi ” untuk sesiapa yang melawat Britain.
9. Kesemua konsert siri jelajah Ariana Grande ditunda berikutan insiden letupan bom itu. Ariana sepatutnya mengikuti jadual konsert di beberapa buah negeri di Eropah termasuklah England, Belgium, Poland, Jerman dan Switzerland.