Perkahwinan Datuk Hans Isaac yang dijadualkan pada 29 Julai depan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dikongsikan kelak.
Datuk Hans mengambil keputusan itu dek kerana bapa kepada tunangnya, Gabrielle Robinson tidak dapat hadir ke majlis pada tarikh yang dijadualkan itu oleh sebab terikat dengan urusan kerja di Austria.
Aktor terkenal ini mengaku yang mana ia merupakan kesilapannya kerana tidak berbincang dengan keluarga Gabrielle terlebih dahulu mengenai tarikh perkahwinan mereka itu.
“Silap saya juga kerana tidak berbincang dengan keluarga Gabrielle mengenai tarikh perkahwinan yang saya sendiri pilih itu. Ingatkan nak buat kejutan. Apapun majlis perkahwinan itu akan tetap diteruskan pada tahun ini juga kerana bayaran untuk hotel dan pelbagai perbelanjaan lain sudah pun dijelaskan,” ujar Datuk Hans kepada BH Online.
Datuk Hans mengumumkan berita perancangan perkahwinannya itu pada bulan Februari lalu. Berikutan kes samannya terhadap bekas kekasih Gabrielle, Datuk Hans dikatakan telah pun menarik balik saman itu dek kerana baginya kes tersebut telah pun selesai dan bekas kekasih tunangnya itu turut sudah pun menarik semula kenyataan yang dia kongsikan di laman sosial sebelum ini.