Kontur dan highlight sudah lapuk, 2017 masa untuk teknik ‘draping’ kembali popular.
Jika anda penggila solekan, anda pastinya sudah sedia maklum kembalinya teknik ‘draping’ yang mana efeknya lebih semula jadi. Tidak seperti kontur dan highlight yang dilihat keterlaluan dan merubah bentuk muka, teknik ‘draping’ dilihat lebih ‘mesra’ wajah, yang mana wajah dibentuk berdasarkan keunikan bentuk muka anda sendiri. Lebih glowing.
Teknik ini asalnya dipopularkan oleh Way Bandy, jurusolek selebriti yang cukup terkenal pada tahun 1970-an. Di tangannya terhasillah solekan cantik yang kita lihat pada wajah ikonik era tersebut seperti Cher, Farrah Fawcett dan Diana Ross.
Jika teknik kontur banyak bermain dengan variasi ton coklat (bergantung pada ton kulti anda sendiri), teknik ‘draping’ pula banyak bermain dengan pemerah pipi dan bronzer. Jadi bagaimana mahu mengaplikasi teknik ini?
Ini caranya:
- Layangkan bronzer (tidak terlalu gelap warnanya) pada bawah tulang pipi.
- Layangkan pula pemerah pipi pada atas tulang pipi.
- Layangkan sedikit pemerah pipi pada pelipis, sisi mata dan hujung kening.
- Layangkan juga pemerah pipi pada leher, kanan dan kiri.
*Untuk aplikasi lebih semula jadi, pemerah pipi dalam jenis cecair lebih sesuai. Tepuk lembut pada bahagian pipi dan hujung mata dan kening.