Hari ini adalah hari paling bermakna buat pelakon yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku, Siti Saleha apabila dia sah menjadi suri hati kepada tunangnya, Lutfi Azhar dengan sekali lafaz sahaja dalam majlis pernikahan yang berlangsung di TPC Kuala Lumpur sebentar tadi.
Pasangan pengantin kelihatan sedondon dengan busana putih dan Siti Saleha kelihatan anggun dengan busana pengantin dari Innai Red, rias oleh jurusolek Chomel dan dandanan Cherina Othman. Pasangan itu selamat dinikahkan oleh bapa Siti Saleha, Mohd Baharum Abdul Rahman di hadapan Imam Masjid Taqwa TTDI Jaya, Ustaz Mohd Fadlullah Md Noor, kira-kira pada jam 3.40 petang tadi.
Siti Saleha yang kelihatan tenang ketika majlis berlangsung akhirnya menitiskan air mata sebaika sahaja dia sah bergelar isteri kepada pasangannya.
Pada majlis itu, Saleha telah menerima mas kahwin berupa set barang kemas sementara wang hantarannya pula dirahsiakan jumlahnya. Pengantin lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang daripada pengantin perempuan.
Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di sebuah pusat konvensyen di tempat yang sama pada esok hari.
Tahniah sekali lagi Jelita ucapkan kepada pasangan pengantin baru ini.
Foto: Instagram Chomel, InnaiGroup & TV3
Sumber: Jelita