Kehadiran pelakon filem The Battleship Island mengundang beribu-ribu peminat. Rata-ratanya mahu melihat Song Joong-ki dengan lebih dekat.
Tiga aktor terkenal dari Korea Selatan iaitu Song Joong-ki, So Ji Sub dan Hwang Jun Min terbang ke Kuala Lumpur bersempena tayangan perdana filem terbaharu mereka yang berjudul The Battleship Island.
“Saya boleh merasakan aura hebat dari peminat Malaysia hari ini,” kata Song di upacara mempromosikan filem itu.
Rata-rata peminat sudah menanti sejak tengah hari dan memenuhi pintu masuk utama pusat beli-belah Pavilion itu hanya untuk melihat sendiri bintang kesukaan mereka ini. Peminat-peminat ini bukan hanya terdiri daripada rakyat Malaysia sahaja, malah juga termasuklah dari Singapura, Thailand, Korea dan Australia.
Pengarah filem tersebut, Ryoo Seung-wan turut hadir ke tayangan perdana filem tersebut. Filem The Battleship Island merupakan sebuah filem yang berdasarkan kisah benar yang berlaku ketika Perang Dunia ke-2. Menceritakan tentang buruh paksaan Korea yang dikerah untuk bekerja di sebuah lombong arang batu milik tentera Jepun di Pulau Hashima.
Pulau itu pada hakikatnya merupakan sebuah kapal besar yang menjadi pusat melombong arang batu dasar laut yang lengkap dengan tempat tinggal serta lokasi pelacuran untuk tentera Jepun.
Filem ini dikatakan sebuah filem yang sangat laris apabila lima juta tiket sudah berjaya dijual di Korea Selatan dalam masa lapan hari selepas ia dilancarkan. Ia bakal mula ditayangkan di pawagam GSC bermula 17 Ogos ini.