Menerusi post terbaru Kim Kardashian West di aplikasinya, selebriti berpengaruh ini mendedahkan bagaimana dirinya mula belajar solekan, memberitahu peminatnya yang dia pernah bereksperimentasi dengan kakaknya, Kourtney selepas menjumpai lokasi penyimpanan item solekan ibu mereka, Kris Jenner.
“Kami akan cuba semuanya, tetapi kami sangat obses dengan concealer dan bedak asas untuk beberapa sebab. Kami akan letakkannya merata – boleh kata di keseluruhan wajah kami,” tulisnya.
Kini, Kim K boleh digelar ratu contouring. Kim kemudian mula berkongsi kisah silamnya bersama teman rapat iaitu Nicole Richie. Isteri kepada Kanye West ini mengaku yang dirinya pernah mencuri lipstik pada usia 11 tahun dari sebuah farmasi di Malibu.
“Kami fikir kami yang paling nakal! Saya tidak ingat nama rona gincu tersebut, tetapi ia adalah berwarna seakan coklat dari Revlon. Saya bukanlah seorang yang suka berparti, jadi ini adalah cara bagaimana saya menjadi seorang rebellious,” kongsinya menerusi post itu.
Menerusi pendedahannya itu, Kim turut berkongsi gambarnya bersama Kourtney semasa remaja.