Kecoh di media antarabangsa yang mana mengaitkan penyanyi popular antarabangsa, Usher dengan penyakit Herpes apabila dua orang wanita dan seorang lelaki mendakwa Usher menyebarkan penyakit kelamin itu.
Usher kini dikatakan meminta pihak hakim untuk membuang kes saman bernilai USD$20juta dari seorang wanita Georgia yang menuduh penyanyi itu memberikannya penyakit Herpes.
Menurut dokumen mahkamah, Usher dikatakan meminta fail saman wanita itu dibuang serta merta dek kerana wanita tersebut tidak langsung mengemukakan sebarang bukti yang dirinya tidak dijangkiti penyakit itu sebelum melakukan seks dengannya.
Wanita itu yang hanya diidentifikasikan sebagai Jane Doe di dalam fail saman tersebut berkemungkinan telah dijangkiti penyakit Herpes melalui hubungan seks bersama pasangan sebelumnya atau mungkin dia telah berhubung dengan individu tersebut selepas tuduhan itu dilakukan.
Usher juga berhujah bahawa wanita itu mengambil risiko mendapat herpes ketika dia terlibat dalam “hubungan seksual rambang, seksual tanpa perlindungan dan / atau seks oral.”
Walaubagaimanapun menurut TMZ, Usher tidak menafikan sama ada dia memberikan wanita itu penyakit kelamin. Bulan lalu, telah didedahkan bahawa Usher telah menyelesaikan bayaran saman dengan kes yang sama berjumlah USD$1 juta. Namun, dia tidak mengesahkan atau menafikan yang dia mempunyai virus kelamin itu.
Usher turut berhadapan dengan dua saman yang sama : salah satu darinya adalah daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai John Doe dan seorang lagi wanita bergelar Quantasia Sharpton.
Sharpton tampil pada bulan lalu mengatakan yang Usher meletakkan dirinya dalam risiko penyakit Herpes pabila gagal mengesahkan dirinya bebas dari penyakit itu sebelum mereka melakukan seks.
Peguam Sharpton, Lisa Bloom akhirnya mengesahkan yang mana pelanggannya itu telah membuat ujian pemeriksaan dan dilaporkan negatif dari virus itu.
Usher masih belum memberikan sebarang kenyataan penuh berhubung teka-teki ramai ini.