Pemenang pertandingan MasterChef Australia musim ke-9, Diana Chan buat pertama kali akan kembali ke Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk temuinya.
Wira memasak negara, Diana Chan dijadualkan pulang ke tanah air untuk tayangan Lifetime saluran Astro 709. Akauntan berusia 29 tahun ini sebenarnya dilahirkan di Sitiawan, Perak dan kemudian membesar di Johor Bahru.
Diana sebenarnya mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan ibu dan bapanya kala di rumah sebelum dia berpindah ke Australia untuk menyambung pelajaran serta bekerja di sana.
Gadis ini berjaya menjuarai siri realiti TV masakan terkenal ini pada bulan lalu. Dia berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah $AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Buat yang terlepas untuk menonton sepanjang perjalanan Diana selama tiga bulan di dalam MasterChef Australia musim ke-9, anda boleh menonton semula kemenangan Diana pada setiap hari Sabtu bermula 14 Oktober hingga 4 November 2017, jam 12 tengah hari di saluran Lifetime (Saluran Astro 709).
Bagi peminat Diana, jangan lepaskan peluang untuk bertemu dengan jaguh memasak ini di Kuala Lumpur pada 7 Oktober nanti bertempat di South Court (tingkat bawah) Mid Valley Megamall.
Diana akan berkongsi pengalamannya yang luar biasa di MasterChef serta menjawab soalan-soalan dari peminat. Bahkan, anda juga dapat menyaksikan demonstrasi masakan istimewa dari juara memasak ini secara langsung.
Tidak ketinggalan, finalis Malaysia untuk MasterChef Asia, Jasbir Kaur dan Marcus Low turut akan memeriahkan acara tersebut dengan demo masakan masing-masing.
Jangan bimbang. Buat yang tidak dapat hadir, anda masih boleh menonton acara ini secara langsung menerusi Facebook Live di @LifetimeAsia.