Desakan sosioekonomi dan gangguan emosi menghimpit mereka ke gelanggang serba kekurangan. EH! merungkai kisah di sebalik tirai kehidupan wanita gelandangan.
Walaupun negara semakin pesat dengan pelbagai pembangunan dalam menuju modenisasi hidupan manusia namun disebalik kisah putih ini masih lagi wujud kisah segelinap golongan tunawisma atau lebih dikenali sebagai gelandangan tanpa pelindungan kediaman mahupun punya kerjaya tetap.
Renungan di kaca mata mereka seakan menggambarkan kesulitan hidup pernah dialami hingga meragut jiwa kala merangkak untuk menjalani kehidupan sebagai individu normal. Namun, apakan daya mereka tersungkur di tengah jalan. Walaupun begitu, kerajaan menguatkan talian usahasama dengan beberapa perbadanan kebajikan dalam misi mengubah perspektif minda dan nasib mereka. Pelbagai usahasama terlaksana demi mengubah nasib mereka.
Namun, di mana silapnya, adakah ia berpunca daripada permainan emosi nan tidak stabil atau terlalu ‘manja’ untuk berdikari. Jumlah gelandangan masih lagi berada dalam statistik berubah-ubah. Walau bagaimanapun, jumlah ini semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya dan ia menunjukkan satu reaksi positif dan harus dipertingkatkan lagi. Oleh itu, dengan wujudnya teori bantuan yang terlaksana oleh Badan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan juga beberapa pusat kebajikan dalam mengatasi masalah gelandangan ini.
Antaranya Anjung Singgah dibawah Jabatan Kebajikan Negara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dibawah inisiatif sosial Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) serta bahagian NGO seperti Pertiwi Soup Kitchen.
Inisiatif positif dalam kendalian masalah ini iaitu Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang dibina sekitar awal tahun 2016 dilihat membantu hampir ratusan penghuni gelandangan untuk kembali ke landasan kehidupan normal. Bertindak sebagai pusat sehenti yang boleh menempatkan seramai 184 orang dalam satu masa dan ia bersifat sementara sebelum penghuni dibawa ke pusat atau agensi bersesuaian.
TEMU BUAL BERSAMA PENGASAS PERTIWI SOUP KITCHEN – PUAN HAJAH MUNIRAH ABDUL HAMID
Bagaimana ia bermula dan pengalaman sepanjang mengasas Pertiwi Soup Kitchen? Pertiwi Soup Kitchen dilancarkan pada 11 Mac 2010. Terlalu banyak pengalaman yang ingin dikongsi namun apa yang kami laksanakan ialah kami sering keluar membantu kalau untuk seminggu hampir setiap empat malam untuk agihan makanan malam dan tengahari pula tiga kali seminggu. Saya sudah terdedah dengan aktiviti kebajikan seperti ini sejak berusia lima tahun. Ketika itu, saya membantu ibu dengan menyediakan bubur susu untuk fakir miskin yang tidur di kawasan Masjid Nagor, Alor Setar.
Pandangan kali pertama saat memperkenalkan Pertiwi Soup Kitchen di mata dunia? Saya teringat arwah ibu dan arwah rakan sekolah yang mendorong dan memberi semangat untuk saya memulakan Soup Kitchen dan sentiasa berazam untuk terus kekalkan pertubuhan ini agar dapat membantu mereka yang dalam kesusahan.
Cabaran yang dihadapi sebagai seorang aktivis aktif? Sukar mencari penyelesaian untuk permasalahan mereka. Oleh itu, saya mesti banyak bersabar jika inginkan sesuatu perubahan positif, relevan dan efektif.
Adakah dengan wujudnya pelbagai organisasi bukan kerajaan dalam membantu masalah gelandangan ini adalah sesuatu yang positif? Apa sahaja bantuan yang ingin dihulurkan haruslah berlandaskam objektif yang teratur. Pemberian makanan secara sesuka hati banyak menimbulkan isu pembaziran yang dapat dirumuskan buat masa kini. Oleh itu, kita mesti ada objektif jangka masa panjang. Saya syorkan usaha melalui “buddy system” di mana setiap NGO perlu ada kumpulan untuk menjaga beberapa orang sebagai bantuan sepanjang aktiviti. Lebih bermakna dan relevan.
Bagaimana pula dengan matlamat mereka, adakah ia menuju hala yang sama seperti Soup Kitchen? Saya boleh rumuskan secara rawak, matlamat kami adalah membantu golongan menjadi individu normal. Contoh seperti mat berat, hanya tahu bersenang-lenang atas bantuan orang ramai, orang seperti ini kita bantu dalam mengubah sikap mereka dengan memujuk mereka untuk bergerak bagi “buddy system”. Asalkan punya kerja yang boleh mereka laksanakan.
Bagaimana Soup Kitchen memperolehi dana? Sejak ditubuhkan hingga kini, kami banyak menerima pelbagai sumbangan dana dari badan korporat mahupun secara individu.
Di manakah kawasan utama menjadi lokasi gelandangan di Kuala Lumpur? Sekitar Chow Kit, Masjid Negara, Masjid India, Masjid Jamek, Kota Raya, ibu pejabat Maybank Kuala Lumpur, Pudu Raya, Segi College dan di bawah jambatan Syed Putra, Brickfields.
Dalam satu masa berapa tempat yang sempat Soup Kitchen hantarkan bantuan makanan? Lebih kurang enam hingga lapan tempat sekitar hotspot Kuala Lumpur.
Bagaimana jika hendak mendaftar diri sebagai sukarelawan di Soup Kitchen? Pintu kami sentiasa terbuka luar menanti kehadiran anda! Anda boleh terus hubungi saya atau ikuti perkembangan terbaru aktiviti yang dijalankan di laman web rasmi pertiwi.org.my atau laman Facebook PERTIWI Soup Kitchen.
KISAH 1
PUAN NURUL, 51 TAHUN (Bukan Nama Sebenar)
Dulu hidupnya normal seperti orang biasa, punya kerjaya sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta namun segalanya berubah apabila dia disahkan menghidap penyakit Amnesia atau Dissociative Identity Disorder iaitu ingatan kembali ke zaman kanak-kanak. Tahap hilang ingatan saya dulu agak teruk hingga saya langsung tidak mengenali suami kedua saya dan akhirnya dibawa pulang ke kampung belah ibunya untuk dirawat. Sudahnya, penyakit saya tidak dapat dirawat dan kami temu jalan buntu hingga dihalau dari kampung kerana kedua-dua tidak bekerja.
Suami saya ditamatkan kerja sebagai pekerja kontrak kerajaan kerana kerap bercuti hanya untuk menjaga saya dan saya pula dibuang kerja kerana syarikat mengangap saya mempunyai masalah mental. Saya kembali ke Kuala Lumpur dan ingin menginap semula di rumah sewa sekitar Petaling Jaya, sekali lagi saya diuji apabila dikejar ‘along’ kerana bebanan hutang bekas suami pertama dan saya berjaya habiskan bayaran dan kami lari menyewa bilik RM15 untuk satu hari di sekitar Chow Kit.
Lama-kelamaan, kami berdua kehabisan duit hingga dihalau oleh tuan rumah pada pagi buta dengan perut yang sangat lapar, saya sanggup mengorek makanan buangan di dalam tong sampah asalkan dapat alas perut dan teruskan hidup. Hingga satu ketika saya bertemu dengan Puan Munirah (Pengasas Soup Kitchen) dan dialah membawa saya ke Pusat Transit Gelandangan ini. Hampir empat bulan saya menginap bersama suami di sini. Kini, saya hanya menunggu peluang untuk mencari rumah sewa dan mulakan hidup baru bersama suami dan anak-anak. Saya sekarang mendapat pekerjaan secara separuh masa di sebuah restoran francais makanan manakala ketiga-tiga anak saya kini sedang menuntut di beberapa universiti awam.
KISAH 2
PUAN ROSS, 38 TAHUN (Bukan Nama Sebenar)
Hidup dengan lelaki durjana, bertopengkan syaitan membawa kisah detik hitam dalam kehidupan saya! Selama 10 tahun perkahwinan kami, saya tidak pernah berasa bahagia! Sering dipukul, dimaki dan dicerca. Hendak menyesal tiada gunanya, niat dihati ingin tinggalkan sahaja si dia namun apakan daya kerana cinta saya akur dan diam.
Namun, pada satu hari itu saya sudah tidak tahan dan tiada kudrat hendak melawan, nekad untuk lari dari rumah walaupun ketika itu dalam tangan saya hanya ada RM3 itulah modal untuk saya dan anak kecil menyelamatkan diri. Dari Subang Jaya saya membawa diri ke Anjung Singgah.
Kami berteduh kasih di situ hinggalah kes penceraian saya bersama bekas suami selesai. Oleh kerana saya tiada pendapatan, saya hanya bergantung harap dengan bantuan ikhlas dari pihak berwajib. Ingin bekerja namun bila terfikir usia anak masih kecil, saya batalkan niat terlebih dahulu. Dari Anjung Singgah saya berpindah ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di sinilah rumah tumpangan seketika saya sebelum punya kerja dan penempatan sendiri.
TEMUBUAL BERSAMA PENOLONG SETIAUSAHA KANAN, BAHAGIAN PERANCANGAN DASAR – PUAN REBECCA NUR IMAN LEE
Adakah bilangan wanita gelandangan di tahap yang serius sepanjang tahun 2016? Data bagi bilangan wanita gelandangan di seluruh Malaysia bukan di bawah skop Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Namun, berdasarkan nisbah bilangan penghuni wanita di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur adalah 1: 4 berbanding penghuni lelaki. Ia merumuskan bilangan wanita gelandangan kurang serius.
Punca utama mengapa mereka memilih untuk menjalani kehidupan sebagai gelandangan? Berdasarkan beberapa kes wanita gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, antara punca mereka adalah masalah keluarga, contohnya perselisihan faham, dibuang keluarga dan penceraian atau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masalah kewangan.
Apakah peratusan statistik terkini bagi jumlah gelandangan terutama wanita di Kuala Lumpur? Sentiasa berubah-berubah kerana bukan semua menjadi gelandangan tegar. Ada juga memilih sekadar gelandangan transit dan hampir setiap hari akan ada individu baru yang bergelandangan.
Kerajaan telah pun melancarkan kemudahan infrastruktur, yakni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Adakah kita mempunyai pusat lindungan yang lain? Di bawah takbir urus KWP, terdapat dua pusat gelandangan iaitu Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Jalan Pahang. Jika di bawah kementerian lain termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mempunyai pusat perlindungan. Selain itu, pihak NGO juga menyediakan perkhidmatan yang sama dalam membantu golongan gelandangan.
Dengan adanya bantuan NGO yang lain, adakah ia sesuatu perkara yang positif dalam membantu permasalahan mereka? Bantuan NGO adalah antara faktor utama yang membantu dalam permasalahan golongan ini. NGO juga berperanan sebagai ‘suara’ golongan gelandangan adalah inisiatif positif yang dirancang khas bagi golongan gelandangan.
Jika orang awam ingin membantu golongan ini, kepada siapa harus mereka rujuk sebelum memberi bantuan? Orang awam yang ingin membantu golongan ini dinasihatkan untuk menghubungi pusat terlibat, NGO atau PERTIWI Soup Kitchen. Ini mengelakkan pertindihan aktiviti terutama pembahagian makanan yang boleh menyebabkan pembaziran makanan. Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari laman Facebook Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Jika mereka kehilangan kad pengenalan diri, adakah mereka boleh mencari pekerjaan baru? Isu ini di bawah skop Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Namun, berdasarkan kes di Pusat Transit Gelandangan KL, salah satu masalah yang dihadapi individu seperti ini menyebabkan mereka gagal untuk membuka akaun bank dan sekaligus sukar mendapat pekerjaan tetap yang gajinya dibayar melalui bank payroll atau menimbulkan keraguan majikan mengenai status kewarganegaraan.
Selain bantuan tempat tinggal, pakaian dan makanan. Adakah mereka turut diberi bantuan kewangan? Pusat Transit Gelandangan KL tidak menawarkan sebarang bantuan kewangan. Jika mereka berkelayakan, bantuan kewangan seperti dari pihak JKM dan Baitulmal akan disalurkan.