Meskipun masih penat kerana baru pulang dari sesi penggambaran video muzik di Korea Selatan, Afgan masih kekal bertenaga untuk membuat persembahan dek kerana melihat pada sambutan peminat yang nyata hangat.
Konsert Terunggul Afgan & Ungu itu disaksikan lebih 5,000 peminat serta kehadiran kerabat Diraja Pahang bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ketika konsert itu, Afgan mempersembahkan 12 buah lagu. Tidak mahu membuatkan peminatnya jemu dengan lagu-lagu lama yang sudah cukup popular antaranya Sadis, Sabar, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta , Afgan sendiri mengambil langkah untuk mendendangkan peminat dengan beberapa judul lagu barunya demi membuatkan peminat lebih biasa dengan lagu tersebut.
“Saya sememangnya mempersembahkan lagu baru juga lagu lama yang saya jadikan medley, tetapi kerana saya tahu tahun depan saya masih akan mempunyai konsert sempena 10 tahun ulang tahun di dalam industri muzik yang dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur, Jakarta dan mungkin Singapura, jadi saya mahu memberikan pendedahan kepada peminat akan lagu-lagu itu menjelang konsert itu nanti,” jelasnya.
Pabila ditanya adakah Afgan bakal memperlahankan kemunculannya di Malaysia kerana sering melakukan konsert di Malaysia, Afgan menjawab, “Saya masih belum mempunyai perancangan kerana saya masih lagi menikmati menyanyi di sini. Jadi saya belum ada rancangan untuk mengurangi persembahan di Malaysia. Kuala Lumpur ini adalah satu tempat yang terbaik untuk saya buat persembahan kerana sambutannya selalu luar biasa.”
Mengakui yang dirinya tidak menjalani sebarang latihan sebelum konsert itu berlangsung dek kerana tidak sempat dan baru sahaja pulang dari Korea Selatan, tetapi bintang popular dari Indonesia ini masih mampu beraksi dengan cukup bertenaga, dan paling penting peminat juga terhibur.
“Saya tidak sempat menjalani sebarang latihan kerana baru tiba dari Korea Selatan dan hanya tidur sepanjang hari bagi mendapatkan rehat yang mencukupi,” ujar Afgan ketika ditemui di sidang media.
Walaupun tidak dapat melakukan latihan, Afgan merasakan konsert malam itu sangat buatkan dirinya berpuas hati kerana sokongan peminat yang cukup hebat.
“Saya puas sangat pada malam ini kerana tenaga dan sambutannya agak hebat. Sebelum saya naik ke pentas tadi, saya juga berasa tidak sabar untuk membuat persembahan. Super excited! Saya sebenarnya jarang untuk really in the mood, tetapi malam ini saya nyata bertenaga dan cukup puas hati,” akui Afgan lagi.