Akhirnya impian Datuk Seri Vida untuk membawa anak-anak Tahfiz Darul Ittifaqiyah mengerjakan umrah tercapai meskipun dia tidak dapat pergi bersama.
Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida sangat bersyukur setelah impiannya itu termakbul. Berita itu dikongsikan olehnya sendiri di laman Instagram.
Memuat naik sebuah entri, Datuk Seri Vida menyatakan yang mana hasratnya itu sudah agak lama terpendam dan beberapa kali rancangannya tergendala dek kerana beberapa masalah yang dialami.
Tulisnya, “Alhamdullilah, setelah banyak kali tergendala, akhirnya impian saya tercapai untuk membawa anak-anak tahfiz menunaikan umrah. Cuma saya tidak boleh pergi bersama mereka. Apabila saya balik dan kini giliran mereka yang pergi. Tidak mengapa, yang penting lepas hasrat saya.”
Dikatakan sepatutnya Datuk Seri Vida terbang ke Mekah bersama-sama anak-anak Tahfiz tersebut, namun disebabkan beberapa masalah visa yang dilalui, penyanyi lagu I Am Me itu berangkat terlebih dahulu pada 14 Oktober lalu dan kini sudah pulang ke tanah air serta sempat menemui anak-anak Tahfiz tersebut di KLIA.
Bahkan, anak kepada Datuk Seri Vida, yang lebih dikenali dengan panggilan Cik B turut tidak dapat mengikuti ibunya mengerjakan umrah disebabkan masalah visa.
Anak-anak Tahfiz yang dibawa mengerjakan umrah tersebut merupakan mangsa-mangsa yang terselamat di dalam kebakaran Tahfiz Darul Ittifaqiyah pada bulan September lalu yang meragut 25 orang nyawa termasuk dua orang pengajar.
Datuk Seri Vida sempat melawat lokasi kebakaran tersebut di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur dan di situ dia menanam impian untuk membawa mereka menunaikan umrah.
Menerusi entri yang sama, Datuk Seri Vida turut menyatakan hasratnya untuk membawa pengguna Pamoga (produknya) yang pulih dari penyakit selepas mengambil produk minumannya itu menunaikan umrah.
Rata-rata pengikut jutawan kosmetik ini di laman sosial memuji sikap baik hatinya dan berharap supaya dia akan terus membantu insan yang memerlukan.