Berikutan insiden kematian jirannya, Siwon dikatakan tidak akan turut serta dalam aktiviti mempromosi comeback Super Junior.
Hanya seminggu sahaja lagi sebelum comeback kumpulan Super Junior berlangsung selepas dua tahun mendiamkan diri, tetapi kini ada berita lebih buruk buat peminat Siwon.
Sebelum ini telah dilaporkan di mana ahli kumpulan itu Sungmin dan Kangin tidak akan turut serta dalam sesi mempromosi album kelapan mereka berjudul Play yang dijangka akan dilancarkan pada 6 November ini.
Walaubagaimanapun, baru-baru ini telah diumumkan yang mana Siwon juga tidak akan mengikuti aktiviti mempromosi tersebut. Label Super Junior mendedahkan berita tersebut menerusi sebuah kenyataan dengan meminta maaf kepada peminat yang sudah menanti begitu lama untuk comeback kumpulan itu.
Kenyataan tersebut tidak memfokuskan kepada sebab ketidakhadiran Siwon di acara promosi comeback itu, tetapi ramai yang merasakan ia pastinya berkaitan dengan isu anjingnya yang telah menyerang jiran sehingga menyebabkan kematian.
Awal bulan ini, anjing peliharan Siwon dilaporkan telah menggigit seorang jiran yang kemudian meninggal dunia beberapa hari selepas itu berikutan jangkitan kuman, sepsis, satu kondisi yang berlaku pabila tubuh memberi tindak balas terhadap infeksi dan menyebabkan kecederaan pada tisu dan organ tubuh.
Ia juga dilaporkan yang mana Siwon tidak hadir ke sesi bertemu peminat di Super Junior’s ELF – Japan Festival 2017 (Super Sports Day) di Jepun yang berlangsung pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Dengan ketidakhadiran Siwon, ahli Super Junior yang bakal turut serta untuk promosi comeback itu termasuklah Leeteuk, Heechul, Yesung, Shingdong, Eunhyuk dan Donghae.
Menurut laporan media Korea, Kangin memilih untuk tidak menyertai aktiviti tersebut setelah dia didakwa memandu dibawah pengaruh alkohol pada bulan Mei tahun lalu, sementara Sungmin telah mengesahkan ketidakhadirannya lebih awal berikutan peminat telah memboikotnya berikutan perkahwinannya yang “tidak dijangka” dengan pelakon muzik Kim Sa-eun pada Disember 2014.
Ahli kumpulan Super Junior, Kyuhyun dan Ryeowook pula kini sedang menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib. Untuk Play, kumpulan tersebut telah melancarkan video muzik untuk lagu One More Chance semalam.
Super Junior yang tampil debut pada 6 November tahun 2005 dijangka bakal mengikuti konsert jelajahnya yang ke-7, Super Show 7 pada Disember nanti.